Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah menjawab notis tunjuk sebab daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) dan kini menunggu keputusan mengenai status dua cawangan parti itu di Miri.

Pada 6 Jun lepas, ROS telah mengeluarkan Notis Tunjuk Sebab kepada dua cawangan SUPP - Piasau dan Bekenu - atas dakwaan melanggar perlembagaan parti ketika pemilihan pada Persidangan Tritahunan Perwakilan (TDC) pada Disember 2011.

"Kami sudah menjawab surat ROS itu. Kami berharap untuk menerima jawapan supaya kita dapat meneruskan kerja kita, " kata presiden SUPP Tan Sri Peter Chin Fah Kui ketika dihubungi Bernama hari ini.

SUPP, parti tertua di Sarawak, telah berpecah kepada dua puak menjelang TDC pada Disember 2011 dengan pengerusi cawangan Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh memimpin satu kumpulan manakala Chin pula kumpulan lain.

Puak yang dipimpin Wong telah membuat aduan dengan ROS berkaitan dakwaan pelanggaran perlembagaan parti ketika pemilihan TDC 2011 di 14 cawangan tetapi hanya cawangan Piasau dan Bekenu diberikan notis tunjuk sebab.

Dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Chin berkata beliau yakin perbincangan damai antara dua puak dalam parti itu akan membuahkan hasil berikutan wujud 'tanda-tanda positif.'

Ini walaupun hakikat bahawa salah satu daripada enam wakil rakyat daripada puak yang diketuai Wong telah dirujuk kepada Jawatankuasa Dispilin Parti.

"Buat masa ini, saya boleh mengatakan bahawa wujud pemikiran yang agak baik...sekurang-kurangnya antara saya dan rakan sekerja saya (Wong). Kedua-dua kami mahu melihat parti menjadi lebih kukuh dalam menghadapi pilihan raya negeri yang mesti diadakan sebelum 2016," katanya.

Chin menegaskan kedua-dua puak ikhlas dalam usaha mereka untuk mencapai perdamaian bagi memastikan prestasi SUPP pada pilihan raya negeri akan datang bertambah baik.

"Sudah tentu kita tidak mahu melihat parti ini terus berpecah," katanya sambil menjelaskan TDC akan diadakan tahun depan.

- Bernama

ADS