Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perancang perolehan Scorpene kata beliau bukan broker

Anugerah kontrak Scorpene telah dibuat secara telus kepada pihak yang paling layak dari segi teknikal pada harga komersial paling kompetitif berpandukan asas rundingan, menurut perancang

perolehan kapal selam.

Jasbir Singh Chahl juga menegaskan kontrak antara Kerajaan Malaysia dan Perimekar Sdn Bhd bagi nilai bersamaan 115 juta Euro adalah untuk skop tugas terperinci, dan penyediaan perkhidmatan seumpama itu adalah mengikut norma-norma komersial.   

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata bayaran itu dibuat di bawah Perjanjian Pembekal Perkhidmatan dan perjanjian berkaitan lain mengikut garis panduan Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).   

"Oleh itu, saya berpendapat fakta-fakta dan data yang ada dan tidak dapat dipertikaikan di khalayak awam menyokong hujah bahawa keistimewaan tawaran teknikal dan komersial yang dibentangkan kepada Kerajaan Malaysia tidak langsung memerlukan sebarang perbuatan melobi, bagi mempengaruhi proses membuat keputusan," kata beliau.  

Jasbir berhujah bahawa harga yang dirundingkan adalah menarik, memandangkan keistimewaan Program Penyertaan Industri Malaysia dan Perdagangan Timbal balik dan Program Imbangan yang disyorkan sebagai sebahagian daripada cadangan keseluruhan.

Beliau mengambil perhatian harga sebuah kapal selam Kelas Scorpene hari ini, adalah dalam lingkungan RM6 bilion.

"Kami membeli dua unit pada harga lebih murah berbanding harga satu unit sekarang," kata beliau. Malaysia membeli kapal selam itu pada kira-kira RM4.2 bilion.

Jasbir menjelaskan bertentangan dengan fakta yang sengaja diputar belit dan percubaan yang melabelkan beliau sebagai 'broker' atau 'ejen komisen', realitinya ialah beliau bekerja dengan pegawai Thales di Malaysia selama beberapa tahun dalam projek berkaitan pertahanan.  

Katanya, beliau telah diminta oleh Thales menganalisis, menilai dan memajukan cadangan untuk membekal kapal selam bukan nuklear termoden, kepada Kerajaan Malaysia.

Bagi tujuan analisis, penilaian dan pembangunan projek kapal selam, katanya beliau telah diperkenalkan kepada DCN International (DCN), pembuat kapal selam Kelas Agosta 70 dan Kelas Scorpene milik Kerajaan Perancis.     

Jasbir berkata berikutan itu, Perimekar terpilih sebagai penggerak tempatan untuk menerajui projek kapal selam manakala Terasasi Sdn Bhd (TSB) dibentuk untuk menjadi pembekal perkhidmatan luar bagi menasihat dan membantu Thales.

Beliau berkata skop Perimekar meliputi, yang utama, penganugerahan selepas kontrak antaranya ialah:   

  • pengurusan projek dan perkhidmatan integrasi projek;
  • menyelaras pembabitan syarikat-syarikat Malaysia;
  • membantu kontraktor utama dalam memastikan pematuhan semua undang-undang
  • dan prosedur tempatan;
  • menyelaras dan memantau latihan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia,
  • termasuk penyediaan kemudahan penginapan dan perkhidmatan yang perlu bagi mereka
  • dan keluarga mereka di Perancis dan Sepanyol selama enam tahun; dan,
  • menyediakan laporan bulanan berhubung perkara di atas.

"Dakwaan kononnya Perimekar adalah sebuah agensi pelancongan yang diberikan tugas seumpama itu adalah karut dan langsung tidak berasas," kata Jasbir, dan menambah ia adalah putar belit fakta yang sengaja dibuat oleh pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

Beliau seterusnya berkata kewajipan TSB di bawah perjanjian pembekal perkhidmatan termasuk:  

  • pengambilan tenaga kerja berkelayakan dan/atau sub-kontraktor untuk
  • menyalur perkhidmatan itu.  
  • penyediaan laporan tetap berhubung aktiviti dan maklumat berkaitan projek;
  • dan,  
  • memastikan semua pekerja dan sub-kontraktor mematuhi undang-undang
  • tempatan dan antarabangsa, dan mereka mengiktiraf peruntukan di bawah OECD.
Jasbir berkata: "Antara pertengahan 2000 dan Disember 2000, kami telah menganalisis, menilai, menyediakan konsep, membuat strategi dan membangunkan projek kapal selam.   

"Tugas-tugas, peranan, penyertaan dan sumbangan ini membawa kepada kejayaan penganugerahan projek kapal selam pada Jun 2002, berdasarkan hubungan Kerajaan dengan Kerajaan. Perimekar juga pada masa sama dianugerahkan kontrak perkhidmatan sokongan.

Jasbir menegaskan beberapa orang telah tampil dalam beberapa tahun ini membuat dakwaan yang mereka mengetahui berhubung rundingan projek, atau mereka mempunyai "pendedahan besar" untuk dibuat berhubung projek berkenaan.  

"Mereka membuat dakwaan itu berdasarkan mempunyai maklumat langsung atau mendapat maklumat itu daripada pihak lain, termasuk (rakyat Mongolia) Altantuya (Shariibuu)," kata beliau, dan menambah Altantuya tiada peranan dalam rundingan itu.

"Setakat ini, saya belum mendengar sesuatu yang substantif daripada mereka. Bagaimana Altantuya boleh menyalurkan maklumat yang tepat apabila beliau sendiri tidak terbabit dalam rundingan itu.  

"Mereka yang berkepentingan cuba sedapat mungkin mereka-reka hubungan sedangkan ini tidak wujud langsung," katanya.  

Jasbir berkata mahkamah Perancis telah memutuskan bahawa mereka tidak menyentuh soal kematian Altantuya.

"Fokus mereka ialah tentang amalan perniagaan antara syarikat Perancis, termasuk DCN dan Thales, berhubung kontrak berkaitan pertahanan di Taiwan, Malaysia dan Pakistan," kata beliau.

Jasbir berkata beliau telah diminta oleh pihak berkuasa Perancis untuk datang ke sana membantu mereka dalam penyiasatan.

"Bagaimanapun, berikutan proses pemulihan rawatan, saya telah memberitahu mereka saya tidak boleh melakukan perjalanan sejauh itu.    

"Mereka meminta saya memfailkan deposisi notari sementara menunggu keterangan daripada saya.

"Ini, saya lakukan di Kedutaan Perancis, Kuala Lumpur pada 28 Mac lepas," kata beliau.

- Bernama

ADS