Pandangan Lee Kuan Yew 'lapuk', kata Anwar

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemikiran Lee Kuan Yew berhubung politik berteraskan kaum dalam buku terbaru bekas perdana menteri Singapura itu, 'One Man's View of the World' merupakan pandangan "lapuk".

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula tidak menunjukkan keupayaan untuk melakukan pembaharuan ke atas Umno, kata Anwar lagi ketika mengulas kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan berhubung politik Malaysia.

Anwar berkata, beliau melihat bahawa Lee kurang kefahaman dari segi politik berasaskan kaum dan Najib pula kurang keazaman untuk memahami sentimen rakyat Malaysia.

"Pandangan Kuan Yew sangat mewakili generasi Mahathir – ia agak lapuk. Beliau selalu melihat kepada dikotomi di antara hak dan kaum, hitam dan putih," kata Anwar.

"Sebagai contoh, beliau bercakap mengenai dasar berasaskan kaum, tetapi mempunyai sedikit pemahaman ke atas wacana yang telah berlaku sejak sedekad lalu," katanya.

Pemimpin PKR itu merujuk kepada kenyataan Lee bahawa dasar berteraskan kaum di Malaysia tidak memberi keuntungan kepada Malaysia.

Lee juga berkata dasar tersebut menyebabkan bakat yang diperlukan untuk membina masyarakat dari pelbagai kaum semakin terhad.

Anwar berkata beliau melihat Lee masih terperangkap dalam zaman ketika bekas MP pembangkang tersebut menentang kerajaan Perikatan, atau ketika ketegangan politik timbul di antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, pemikiran Lee itu "tidak relevan dalam konteks masa sekarang".

Anwar berkata, Najib pula menunjukkan bahawa perdana menteri itu "tidak mampu" membawa perubahan yang berkesan.

Najib juga memikirkan bahawa perubahan tersebut hanya akan berlaku selepas beberapa "generasi".

Najib pada minggu lalu bersetuju dengan pandangan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam buku 'The Awakening" bahawa sukar bagi Umno untuk berubah.

Katanya, Najib nampaknya tidak sedar bahawa Malaysia telahpun merdeka sejak lebih satu abad.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.