Keadaan trafik dari arah utara ke ibu negara perlahan

Keadaan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan dari arah utara ke ibu negara setakat 9 pagi ini mula perlahan, manakala di selatan pergerakan kenderaan masih lancar.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressway Berhad ketika dihubungi Bernama, berkata keadaan trafik dijangka terus perlahan menjelang tengah hari kerana pertambahan bilangan kenderaan.

Satu kemalangan dilapor berlaku di Km 299 dari Gopeng ke Tapah arah selatan membabitkan sebuah lori yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan pada 7.55 pagi tadi dan menyebabkan kesesakan.

Namun lori itu telah dialihkan dan lorong terjejas sudah dibuka semula pada 9.35 pagi, katanya.   

Jurucakap itu berkata aliran trafik antara Kuala Kangsar dan Ipoh juga perlahan berikutan keadaan jalan yang licin kerana hujan.

Aliran trafik dari selatan menuju ke ibu kota, terutama berhampiran Seremban-Nilai masih lancar, namun keadaan dijangka berubah menjelang tengah hari kerana peningkatan jumlah kenderaan, katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata status di kesemua lebuhraya termasuk Lebuhraya KL-Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), masih lagi lancar dan terkawal, namun kesesakan dijangka berlaku lewat petang ini.
 
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.