Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang lelaki terbunuh apabila bungkusan yang ditinggalkan di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya meletup dalam kejadian di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk di Tumpat hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng berkata kejadian berlaku pukul 11 pagi ketika Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, cuba mengambil bungkusan yang diletak di atas bumbung MPV milik abang iparnya.

"Letupan berkenaan menyebabkan mangsa cedera parah di kedua-dua tangan serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Yusrizal yang berasal dari Kampung Kenor, Kuala Krai dan bertugas sebagai kerani di Sekolah Rendah Kebangsaan Manik Urai, Kuala Krai, dikatakan tiba di rumah mentuanya itu malam semalam bagi meraikan Aidilfitri.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia empat bulan.

Sementara itu abang ipar mangsa yang enggan dikenali, berkata bungkusan berwarna hitam berkenaan disedari isteri mangsa ketika membuka pintu rumah yang kemudian memaklumkan kepada mangsa.

Mangsa kemudian keluar daripada rumah untuk mengambil bungkusan itu sebelum mereka terdengar bunyi letupan, katanya.

Seorang jiran, Kamaruddin Che Mat, 56, yang sedang berehat di luar rumah, berkata dia terdengar bunyi letupan kuat dari arah rumah mentua mangsa.

"Ini disusuli rasa bergegar, kemudian saya terdengar jeritan meminta tolong, saya pergi ke arah jeritan meminta tolong itu dan nampak seorang wanita iaitu isteri mangsa duduk dekat mangsa," katanya.

Ketika berita ini ditulis, polis masih membuat siasatan di tempat kejadian. Menurut Lai kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama

ADS