Wei Fei nekad lepaskan diri dengan garfu

Tung Wei Fei, seorang warga Malaysia yang ditahan selama sembilan bulan oleh kumpulan bersenjata Filipina di Pulau Jolo mengambil masa selama sebulan untuk mengikir rantai yang membelenggunya, dengan menggunakan sebatang garfu, sebelum berjaya melepaskan diri.

"Selepas sepupu saya dibawa pergi, saya mula gunakan sebatang garfu untuk memotong satu sambungan di rantai besi. Saya berjaya selepas hampir sebulan.
 
"Saya menunggu selama sebulan lagi. Kemudian saya mendapat peluang untuk melepaskan diri," kata Wei Fei seperti dikutip dalam laporan The Star hari ini.

Sepupunya, Wee Wei, 34, turut dirantai di bahagian kaki semasa berada dalam tahanan.

Kedua-duanya sedang bekerja di ladang sarang burung milik keluarga mereka di Lahad Datu sebelum diculik oleh kumpulan bersenjata pada 14 November.

Wei Fei disatukan semula dengan keluarganya selepas berjaya melepaskan diri pada 5 Ogos.

Beliau berkata, beliau mula melepaskan diri daripada pondok yang menjadi tempat penahanannya ketika kumpulan bersenjata tersebut sedang bersembahyang.

Lelaki itu berkata, beliaui berlari sedaya upaya sebaik hujan turun, dan hanya berhenti seketika untuk beberapa kali.

Beliau melarikan diri melalui kawasan hutan tebal selama berjam-jam lamanya, sehinggalah beliau bertemu dengan satu kawasan perkampungan.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.