Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan pengerusi perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said berkata jawatan naib presiden dan ahli majlis tertinggi perlu dipertandingkan dalam pemilihan parti kali ini.

Katanya, perkara itu harus berlaku agar pilihan terbaik dapat dicapai seiring dengan prinsip demokratik yang diamalkan parti itu.

" Perlu ada persaingan untuk jawatan Naib Presiden dan AMT bagi membolehkan ahli membuat pilihan yang terbaik,” katanya ketika berucap dalam satu majlis sambutan Aidilfitri di Kota Belud, Ahad lalu.

Salleh berkata, usaha untuk mewujudkan "pakej" untuk semua jawatan secara perundingan seharusnya dielakkan kerana ia tidak baik untuk parti.

Beliau mengulas mengenai saranan yang timbul agar ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bertanding jawatan naib presiden Umno.

Antara yang menyatakan sokongan tersebut ialah timbalan ketua menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin serta tiga ketua bahagian: Datuk Sapawi Ahmad (Sipitang), Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan (Tawau) dan Datuk Abdul Rahim Ismail (Papar).

Dalam ucapannya itu, Salleh turut berpendirian agar jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan kali ini dengan alasan kedua-dua jawatan itu hanya boleh diisi oleh seorang pemimpin.

"Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu menjadi rebutan kerana masing-masing hanya satu. Tetapi jawatan Naib Presiden ada tiga...

"Justeru, sesuailah ada pertandingan untuk membolehkan ahli-ahli membuat pilihan bagi mengisi slot berkenaan," katanya.

ADS