Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata beliau meminta parti itu menimbangkan segala cadangan dan teguran mantan presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad sempena pemilihan Umno akan datang.

Razali yang masih belum membuat keputusan untuk bertanding dalam pemilihan Umno turut berkata, beliau mengambil teguran Dr Mahathir itu sebagai satu cabaran dalam pemilihan kali ini.

NONE "Bagi saya, saya hormati Tun Dr Mahathir sebagai seorang pemimpin yang bagus. Kepada orang Umno, timbangkanlah dan ambil kira serta buktikan. Melainkan, kita ini mengesahkan apa yang beliau katakan.

"Saya ambil perkara itu sebagai cabaran," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pendengaran kes rayuan penggunaan kalimah Allah di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini.

Pada Ahad lalu, Dr Mahathir berkata Umno memerlukan lebih ramai generasi baru menyertai dan menerajui parti itu bagi memastikannya kekal relevan.

Tokoh Umno itu menasihatkan mereka perlu mengkaji semula diri kerana parti itu semakin tua dan ramai di kalangan pemimpin dalam parti itu berada untuk tempoh yang lama serta orang muda tidak merasakan perkara itu menarik.

Harap tiada masalah

Sementara itu, Razali yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau juga berharap supaya pemilihan Umno kali ini tidak mengalami sebarang masalah seperti DAP.

Katanya, beliau turut menghormati calon yang menawarkan diri untuk bertanding serta meminta mereka bertanggungjawab terhadap semua perkara termasuk isu kalimah Allah.

"Janganlah Umno pun nanti macam tu (DAP). Nanti orang lupa pasal DAP dan bercakap pasal Umno pula. Jadi sebagai orang nak bertanding kena kaga yang itu.

"Saya hormati siapa juga yang tawarkan diri untuk bertanding sebab dia ambil amanah. Jadi bila isi borang, dia sanggup untuk teruskan parti dan saya Sokong kepada semua yang sanggup kehadapan.

Isu kalimah Allah juga salah satu tanggungjawab mereka yang nak bertanding," katanya lagi.

ADS