Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seramai kira-kira 100 orang aktivis berarak ke bangunan kedutaan Amerika Syarikat hari ini bagi membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang didakwa sebagai “penjajahan korporat” baru ke atas negara ini.

Kumpulan berkenaan dalam memorandum yang diserah kepada wakil kedutaan berkata, perjanjian berkenaan akan menjejaskan kedaulatan Malaysia kerana kerajaan didakwa dipaksa untuk menerima kandungan perjanjian tersebut.

“Kami menggunakan istilah 'penjajahan korporat' untuk merujuk rejim TPPA, kandungannya dan proses pelaksanaannya kerana kepentingan gergasi korporat sangat jelas telah mempengaruhi peruntukan kontroversi dalam perjanjian ini dan kerajaan pula telah ditekan dan dipaksa menerimanya,” memorandum itu dipetik.

Bantahan itu dijalankan ketika wakil kerajaan Malaysia dijangka akan mengemukakan laporan perkembangan rundingan dalam pertemuan di Bali pada Oktober depan.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada seorang penolong pengurus keselamatan kedutaan AS, yang dikatakan akan mengadakan perbincangan dengan NGO terbabit berhubung bantahan mereka.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh wakil NGO berkenaan, setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), J Solomon dan setiausaha kehormat Majlis Aids Malaysia Hisham Hussein.

Hisham ketika bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut berkata wakil kedutaan terbabit juga akan mengemukakan dokumen terbabit untuk perhatian bahagian ekonominya.

"Saya baca kandungan memorandum ini di hadapan wakil kedutaan tadi. Dan dia mengucapkan terima kasih dan bersedia untuk mengadakan perbincangan bersama gabungan NGO Bantah TPPA ini. Bila (perbincangan) itu dia tak beritahu pula.

Turut menyertai perhimpunan berkenaan ialah wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Majlis Aids Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Solidariti Angkatan Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Seramai 100 orang itu pada awalnya berarak dari masjid Tabung Haji dan berhimpun di hadapan kedutaan tersebut kira-kira jam 2.30 petang, dan bersurai lebih satu jam kemudian.

ADS