Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah percaya kerajaan tidak pernah berniat untuk menghapuskan bahasa Cina dalam sistem pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

NONE Saifuddin berkata NGO Dong Zong yang menentang peningkatan jumlah pengajaran bahasa Melayu di sekolah vernakular, seperti terkandung dalam pelan tersebut, perlu mengadakan rundingan dengan kerajaan.

"Adalah tidak benar apabila dianggap (pelan pembangunan) baru itu mahu menghapuskan bahasa Cina di SJKC. Ia bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

"Saya amat harap pihak Dong Zong meneruskan usaha mereka untuk berjumpa dan berunding dengan Kementerian Pendidikan," katanya dalam dalam sidang media di pejabat GMMF di Bukit Damansara hari ini.

Tambahnya, beliau yakin berlaku sedikit salah faham di antara pihak Dong Zong dan kementerian memandangkan kedua-dua pihak itu sepatutnya bertemu sekali lagi selepas pertemuan pertama sebelum pilihan raya umum yang lalu.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia itu melanjutkan pengajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular dari 180 minit kepada 240 minit seminggu.

Ia turut menggariskan rancangan untuk menjadikan bahasa Inggeris mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun 2015.

Sementara itu, Saifuddin yang baru dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) minggu lalu berharap agar yayasan itu berpeluang memainkan peranan lebih aktif dalam proses penyatuan nasional.

Menurutnya, GMMF berharap agar kerajaan mempertimbang untuk menjemput yayasan itu untuk menyertai Majlis Perundingan Penyatuan Nasional.

"Kami harap dapat memainkan peranan kerana kesederhanaan itu sendiri adalah sebahagian daripada penyatuan nasional.

"Bagi kami, penyatuan nasional ini bukan bersangkut dengan politik sahaja. Mungkin kini adalah masa terbaik untuk kita terlibat," katanya yang berharap agar GMMF dapat menyertainya secara langsung atau tidak langsung.

ADS