Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan NGO termasuk persatuan peniaga kecil Melayu hari ini mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib menghentikan projek membangunkan hub makanan Cina bertaraf antarabangsa bernilai RM12 juta di Jalan Alor, dekat Bukit Bintang.

NONE Mereka mempersoal mengapa projek itu dilaksanakan di kawasan yang dimenangi pembangkang - DAP - sedangkan pada pilihan raya umum lalu, majoriti pengundi Melayu yang memberi kemenangan kepada BN.

Malah, kumpulan itu juga mendakwa lokasi peniaga kecil Melayu di sekitar Kuala Lumpur belum dikenalpasti untuk dibangunkan berbanding kaum lain khususnya di Little India dan Petaling Street.

"(Jadi) apa keistimewaan orang Melayu dalam Kuala Lumpur?" kata Presiden Pertubuhan Ikatan Ushawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah.

NONE "Projek itu di kawasan DAP. Kenapa harus diutamakan di kawasan tersebut. Kerajaan harus kenang jasa orang Melayu yang memberikan kerajaan BN menang pada pilihan raya lalu.

"NGO (Melayu) membantu kerajaan siang dan malam, tetapi projek RM12 juta kepada kawasan DAP. Kami bukan rasis," katanya lagi.

Bercakap kepada media sebelum menyerahkan memorandum Mohd Ridzuan juga mendakwa Ahmad Phesal "berpakat" dengan DAP untuk meneruskan projek tersebut.

"Ekonomi Melayu tidak dapat dibangunkan. Tidak ada tempat sesuai untuk orang Melayu. Datuk Bandar, cermin muka dulu," katanya.

Beri tempoh 2 minggu

Sehubungan itu, Mohd Ridzuan bersama empat lagi NGO lain memberi tempoh dua minggu kepada Ahmad Phesal untuk memberi jawapan terhadap tuntutan mereka dan jika tidak, mengadakan protes besar-besaran di kawasan tersebut.

NONE Antara NGO yang memberi sokongan adalah Persatuan Penjaja dan Peniaga (Kajang), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Muafakat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM)

"Di Malaysia ini ada tiga NGO. Yang pertama, (NGO) terpelajar. Yang kedua, baru belajar. Ketiga, kurang ajar. Jangan sampai kita kurang ajar," katanya.

Malah, mereka juga mendesak Ahmad Phesal meletakkan jawatan jika gagal berbuat demikian.

Dalam memorandum itu Mohd Ridzuan menyatakan kebimbangan terhadap projek berkenaan yang didakwanya akan menguntungkan kaum tertentu dan penaiktarafannya bakal mengundang peningkatan gejala sosial dan jenayah.

"Ikhlas akan menyokong penuh projek yang serupa untuk dibangunkan itu diagih-agihkan secara sama rata kepada kaum lain khususnya kaum Melayu," memorandum itu dipetik.

NONE Memorandum itu diserahkan kepada Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah DBKL Shahlan Ambroz Zainudddin di depan bangunan DBKL kira-kira jam 3.30 petang tadi. Mohd Ridzuan mengetuai kira-kira 25 daripada kumpulan sewaktu menyerahkan memorandum itu.

Sebelum itu, mereka merentangkan kain rentang antara tertulis, "Datuk Bandar apa hal ini hab makanan Cina bertaraf antarabangsa" , "Datuk Bandar kerjasama dengan DAP" dan "Datuk Bandar DBKL letak jawatan!!"

Mereka turut melaung-laungkan "Undur, undur Datuk Bandar", "Letak, letak, letak jawatan" dan "Hidup Melayu".

ADS