Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Kesemua 20 anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dipilih dalam pertandingan pada Disember lalu mengekalkan keanggotaan dalam jawatankuasa tersebut dalam pemilihan semula hari ini.

MP Kluang Liew Chin Tong memperolehi undi paling banyak dengan 1,438 undi.

Satu-satunya anggota CEC Melayu, Zairil Khir Johari memperbaiki kedudukannya ke tempat ke-12 dengan 1,132 undi.

Zairil sebelum ini menduduki tempat ke-20 dengan hanya 803 undi sementara Liew Chin Tong sebelum ini menduduki tempat ke-14 dengan 984 undi.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula hanya berjaya menjadi calon kelima paling popular dengan 1,304 undi walaupun tahun lalu memperolehi undi kedua tertinggi.

Lim ketika ditanya pemberita selepas pengumuman keputusan tersebut malam ini berkata beliau berpuas hati dengan prestasinya.

"Saya berpuas hati. Jumlah undi (saya) berkurangan mungkin kerana jumlah perwakilan yang datang mengundi juga kurang," katanya.

Beliau turut mengumumkan penubuhan dua majlis perundingan baru di bawah CEC iaitu Majlis Perundingan Dayak yang dipengerusikan Dr John Brian Anthony dan Majlis Perundingan KDM (Kadazan Dusun Murut) yang dipengerusikan Dr Edwin Bosi.

Jawatan-jawatan utama lain seperti setiausaha agung, pengerusi kebangsaan dan ketua parlimen kekal seperti sebelum ini.

Pemilihan hari ini yang berlangsung menerusi Kongres Khas DAP diadakan susulan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menolak keputusan pemilihan Disember 2012.

Seramai 1,731 dari keseluruhan 2,576 perwakilan yang layak mengundi hadir ke Kongres Khas tersebut di Petaling Jaya.

Parti itu mengeluarkan sebanyak 1,725 kertas undi bagi pemilihan hari ini.

Berikut adalah senarai penuh keputusan pemilihan CEC:

  • Liew Chin Tong (1,438 undi)
  • Lim Kit Siang (1,436)
  • Karpal Singh (1,421)
  • Gobind Singh Deo (1,409)
  • Lim Guan Eng (1,304)
  • Chong Chieng Jen (1,294)
  • Anthony Loke (1,263)
  • Chow Kon Yeow (1,203)
  • Fong Kui Lun (1,193)
  • Teng Chang Khim (1,164)
  • Tony Pua (1,158)
  • Zairil Khir Johari (1,132)
  • Teresa Kok (1,127)
  • Chong Eng (1,111)
  • M Kula (1,088)
  • Tan Kok Wai (1,088)
  • Teo Nie Ching (1,081)
  • Bo Cheng Hau (961)
  • Nga Kor Ming (956)
  • Ngeh Koo Ham (809)
Berikut adalah senarai sepuluh orang lagi pemimpin DAP yang dilantik ke jawatankuasa tersebut:
  • Tan Seng Giaw
  • P Ramasamy
  • Arifin Omar
  • Jimmy wong
  • Vincent Wu
  • John Brian
  • Edwin Bosi
  • Leong Ngah Ngah
  • V Sivakumar
  • Thomas Su

ADS