Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengajak anggota jawatankuasa pergerakan itu yang baharu dipilih agar bersama-samanya memperkukuh sayap Pemuda berlandaskan ideologi progresif.

Katanya bakti yang ditabur kepada rakyat juga harus dilakukan dengan jujur dan ikhlas.

    

"Tak guna kita popular dalam parti tapi ditolak oleh rakyat. Akhirnya rakyat juga yang bakal menentukan kepimpinan negara," katanya menerusi laman Facebook beliau semalam.

Beliau juga berterima kasih kepada perwakilan yang mengundi beliau sehingga berjaya mempertahankan jawatannya untuk meneraju sayap itu bagi penggal baharu.

"Sokongan padu perwakilan di seluruh negara menginsafkan saya dan membuatkan saya sedar akan amanah dan tanggungjawab yang berat ini. Ini membuktikan perwakilan akar umbi menyokong agenda progresif dan politik penyelesaian yang saya amalkan selama ini," katanya.

Khairy berkata kejayaan itu juga merupakan satu manifestasi bahawa sayap Pemuda utuh dan kekal bersatu.

"Saya yakin kesatuan ini akan memudahkan gerak kerja Pemuda dalam mendekati dan menyakinkan generasi muda amnya," katanya lagi.

Dalam pemilihan yang berlangsung Sabtu lepas, Khairy dicabar oleh Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi,Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali bagi jawatan itu.

- Bernama

ADS