Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Felda menerusi Yayasan Felda mengagihkan bantuan mencecah sekurang-kurangnya RM1.12 juta kepada sebahagian penduduk di Sungai Limau.

Bantuan itu diagihkan kepada 200 buah rumah dengan RM5,000 untuk setiap isi rumah, serta pemeriksaan mata serta pemberian cermin mata percuma yang bernilai RM180 setiap satu kepada 700 orang.

Ia disampaikan dalam satu acara dinamakan majlis 'Kami Prihatin Yayasan Felda' dalam majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 orang semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, calon BN Ahmad Sohaimi Lazim, serta MP Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam majlis sama juga hadirin turut menerima minyak masak jenama 'Saji' keluaran Felda dalam botol 1 liter setiap seorang.

Jamil Khir dalam ucapannya di majlis tersebut dengan berseloroh berkata, beliau berharap agar penerima cermin mata tersebut akan memilih BN ketika mengundi pada 4 November.

"Nanti pangkah, niat pangkah pada yang bagi spek mata itu.

"Pangkah hari itu pangkah pada kotak... BN," kata Jamil Khir Baharom menggunakan loghat utara dalam ucapannya.

Hasin Saidin, 45 tahun yang menerima bantuan untuk memperbaiki rumah berterima kasih kepada BN dan akan terus mengundi BN selepas berbuat demikian pada pilihan raya umum yang lalu.

"Saya nak buat bilik air yang tak ada lagi. Itu yang minta bantuan ini," katanya yang tinggal di Kampung Datuk Abdullah 1 dan telah memohon bantuan itu dari jawatankuasa kemajuan kampung kira-kira beberapa bulan lalu.

Seorang lagi penerima bantuan yang sama, Asma binti Md Isa, 46 tahun berkata wang tersebut akan digunakan untuk menyiapkan dinding rumahnya yang terbengkalai sejak beliau kematian suaminya.

Seorang warga emas yang turut hadir pada majlis itu, Saidin bin Saat, 76 tahun kelihatan gembira sewaktu ditanya perasaannya tentang bantuan yang diterima penduduk sekampungnya.

Menurutnya, PAS selama ini tidak pernah menghulurkan bantuan kepada beliau.

"Kita dari dulu lagi memang sokong BN, kita tak boleh tukar.

"Depa (PAS) bukan nak bagi apa-apa dekat kita," katanya.

Pengerusi Yayasan Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad sewaktu diminta mengulas tentang bantuan itu berkata ia bantuan itu secara "kebetulan" diberikan sewaktu pilihan raya kecil Sungai Limau.

Jelasnya, baru-baru ini pihaknya juga telah memberikan 1,200 pasang cermin mata pada majlis sama di tempat lain seperti Johor walaupun tiada pilihan raya kecil berlangsung di situ.

ADS