Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usul tergempar isu sekolah mubaligh ditolak
Diterbitkan:  Nov 25, 2013 2:42 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

MP Kuantan, Fuziah Salleh kesal apabila usul tergemparnya untuk membincangkan penempatan sementara 1,190 pelajar sekolah di Kuantan ke satu lagi sekolah berdekatan ditolak timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Ronald Kiandee atas alasan ia tidak perlu disegerakan.

Fuziah membentangkan usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) selepas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan didakwa tidak menjawab soalannya tentang status sekolah rendah dan menengah St Thomas, Kuantan di Parlimen minggu lepas.

Menurut Fuziah, kementerian mengeluarkan satu surat mengarahkan pelajar Sekolah Rendah St Thomas untuk menumpang di Sekolah Rendah Kebangsan Teruntum manakala pelajar Sekolah Menengah St Thomas pula diarah menumpang di Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar bermula 15 Disember depan.

Menurutnya, arahan itu tidak perlu memandangkan pemilik tanah iaitu organisasi mubaligh St Gabrielle, Monfort Brothers dan Archbishop of Kuala Lumpur membenarkan kedua-dua sekolah itu kekal di atas tanah mereka sehingga Disember 2015.

Menurutnya, pihak gereja memaklumkan kementerian hasrat untuk mengambil semula tanah itu sejak 2008 lagi tetapi dalam tempoh lima tahun yang lalu, kementerian gagal mencari tapak baru untuk sekolah itu.

Sebaliknya, dakwa beliau lagi di dalam Dewan Rakyat, pihak kementerian cuba merampas tanah itu sehingga memaksa pihak gereja mendapatkan semakan kehakiman untuk menghalang cubaan itu.

"Mereka perlu pindah menjelang 15 Disember, bagaimanakah ini tidak mustahak (untuk dibahaskan)?

"Kementerian belum jawab dan ketidakcekapan mereka menjadi punca masalah ini," katanya pada sidang media beliau di lobi Parlimen kemudiannya.

Anggota Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar yang turut hadir pada sidang media itu menyuarakan ketidakpuasan hatinya apabila usul beliau ditolak speaker dewan atas alasan mahu memberi laluan kepada Fuziah sedangkan usul Fuziah juga ditolak untuk dibahaskan.

Beliau akan membentangkan usulnya yang menyentuh perubahan format kertas Pendidikan Moral SPM sekali lagi agar ia dibahaskan pada hari Rabu ini.

ADS