Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Keputusan akhir tetap di tangan lembaga pengarah'

Kerajaan Selangor mengarahkan anak syarikatnya seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang memiliki pegangan minoriti saham di beberapa syarikat lebuh raya menentang kenaikan kadar tol tahun depan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun mengaku keputusan terakhir akan dibuat lembaga pengarah lebuh raya berkenaan dan bukan keputusan kerajaan negeri.

NONE "Kami telah arahkan ahli lembaga pengarah yang mewakili PKNS dalam syarikat konsesi membuat beberapa cadangan kepada syarikat ini untuk meminta tidak dinaikkan tol tersebut demi menjaga kepentingan rakyat.

"Kita harap perkara ini dapat dibincangkan dalam mesyuarat lembaga syarikat," kata Khalid dalam sidang media selepas mesyuarat exco hari ini.

Ketiga-tiga lebuh raya itu ialah Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Sprint di mana PKNS memiliki tidak lebih 30 peratus saham di setiap satu syarikat.

Khalid berkata walaupun tidak mempunyai kuasa majoriti, kerajaan negeri Selangor bertanggungjawab dan wajib sedaya upaya menunaikan tanggungjawab ke atas warga Selangor.

"Saya pasti pemegang majoriti saham berkenaan akan lebih memikirkan soal aliran wang dan bukannya hal ini... tapi apapun, Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat.

Menurut Khalid, PKNS telah mendapat pulangan pelaburan yang tinggi.

“Kita rasa pulangan pelaburan PKNS sudah cukup baik dan tak perlu dtingkatkan lagi menerusi kenaikan harga tol,” jelas beliau.

"Kita tidak perlu ambil kesempatan mengaut keuntungan melampau hanya kerana Kerajaan Pusat gagal memastikan aliran tunai yang baik," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, beliau setuju untuk mengeluarkan arahan kepada wakil kerajaan dalam syarikat konsesi untuk tidak menyokong kenaikan tol.

Semalam, 15 lebuh raya, kebanyakannya sekitar Kuala Lumpur, dilaporkan akan menaikkan kadar tol antara 50 sen hingga RM2 bermula 1 Januari tahun depan.

Selangor melalui Kumpulan Perangsang memiliki 20 peratus saham masing-masing di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Sprint manakala PKNS menguasai 30 peratus saham di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas).

ADS