Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan kait suspek kes bom, himpunan TURUN
Diterbitkan:  Dec 31, 2013 11:22 AM
Dikemaskini: 9:13 AM

Akhbar Utusan Malaysia mendakwa polis menahan seorang suspek berusia 51 tahun bersama sejumlah bahan letupan semasa individu berkenaan sedang menunggang motosikal dalam satu kejadian semalam.

Tanpa menamakan “sumber polis” itu dengan jelas, laporan bertarikh 30 Disember itu seterusnya mengaitkan suspek tersebut dengan penganjuran satu perhimpunan di ibu negara pada malam ini.

“Menurut sumber, polis masih menyiasat motif bom itu dihasilkan suspek berusia 51 tahun itu, termasuk kemungkinan dingunakan untuk tujuan perhimpunan haram di Dataran Merdeka esok,” laporan itu dipetik.

Laporan itu seterusnya menyebut, “sumber polis” itu berkata bahan letupan berkenaan mungkin digunakan sebagai senjata untuk urusniaga dadah atau menuntut hutang.

"Kita masih siasat (tujuan) bom itu dibuat. Berdasarkan maklumat awal, suspek membuat bom itu di sebuah tokong yang menjadi tempat tinggalnya, sejak sebulan lalu.

"Suspek mengaku membawa bom itu bertujuan untuk membeli dadah. Justeru itu, kami juga sedang siasat kemiungkinan dia menggunakannya sebagai senjata ketika urusniaga dadah atau untuk tujuan menuntut hutang," kata sumber tersebut, seperti dipetik akhbar berkenaan.

Laporan tersebut menjadi bahan utama siaran di muka hadapan akhbar milik Umno itu, yang dihimpun bersama laporan lain di halaman enam dalam seksyen 'Bantah Himpunan Guling Kerajaan'.

Ia merujuk kepada perhimpunan bagi membantah kenaikan kos sara hidup anjuran NGO Turun Kos Sara Hidup (TURUN) dan tiga yang lain, semasa sambutan ambang tahun baru malam di Dataran Merdeka malam ini.

Satu kenyataan polis di Facebook juga tidak mengaitkan suspek, 46, yang disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, dengan perhimpunan tersebut.

Timbalan ketua polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar antara lainnya menyebut bahawa suspek yang dihendaki untuk satu kes itu mempunyai sembilan kesalahan lampau serta positif dadah.

Abd Rahim dalam sidang media sama turut mengumumkan bahawa polis merampas baju-T dengan cetakan didakwa berunsur provokasi dari seorang suspek berusia 37 tahun.

Menurut kenyataan tersebut, individu itu dibebaskan selepas dirakam percakapan untuk siasatan mengikut Seksyen 124(C) Kanun Keseksaan.

"Beliau menasihatkan kepada masyarakat di luar sana yang hendak menyertai sambutan malam tahun baru supaya tidak memakai baju atau apa jua yang boleh menimbulkan provokasi yang boleh menyebabkan tercetus pergaduhan," kenyataan itu dipetik.

ADS