Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Masanya telah tiba bagi kerajaan negeri Sabah untuk mengambil semula kawalan penuh terhadap Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Perkara itu dinyatakan oleh ahli Parlimen PKR Penampang Darell Leiking berikutan kejadian terputus bekalan elektrik Jumaat lepas yang melibatkan hampir keseluruhan negeri Sabah.

Dalam kenyataan beliau dalam akhbar tempatan baru-baru ini, Darell berkata, seharusnya kerajaan negeri mencontohi Sarawak yang mempunyai kawalan penuh terhadap perkhidmatan penyediaan bekalan elektrik.

“Kita seharusnya mencontohi negeri Sarawak kerana ia jelas bahawa, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak mempunyai perasaan terhadap rakyat negeri ini di mana kami hanya dilayan sebagai pengguna semata-mata,” katanya.

Ketika ini, perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah dikendalikan oleh SESB yang merupakan anak syarikat yang dimiliki 80 peratus TNB dan 20 peratus milik kerajaan negeri.

“Sabah dengan sumber yang banyak, berserta minyak dan gas, maka seharusnya ia mempunyai kawalan penuh seperti Sarawak,” tegas beliau.

Stesen minyak gagal operasi

Sabah yang merupakan salah satu rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia tidak sepatutnya mengalami perkara sedemikian pada Jumaat lepas, kata beliau lagi.

Pada Jumaat lepas lebih kurang jam 11 pagi, hampir keseluruhan bandar-bandar utama negeri Sabah telah terputus bekalan elektrik.

Kesan daripada gangguan ini, jalan raya di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu menjadi sesak dan berlaku kekecohan lalu lintas.

Stesen-stesen minyak juga hampir kesemuanya tidak dapat beroperasi.

Punca berlakunya gangguan tersebut sedang dalam proses pengenalpastian, namun, bekalan di hampir seluruh kawasan terlibat telah berjaya dipulihkan secara berperingkat pada hari yang sama.

Gangguan bekalan elektrik juga pernah berlaku di keseluruhan negeri Sabah pada April 2012.

Bagaimanapun, gangguan kecil bekalan elektrik di kawasan-kawasan tertentu negeri ini juga dikatakan kerap berlaku pada hari-hari biasa.

Sedang disiasat

Sementara itu SESB dalam kenyataannya pada hari kejadian menjelaskan, gangguan bekalan melibatkan sebahagian besar Sabah itu berpunca daripada “perlantikan” beberapa penjana kuasa berjumlah hampir 352MW.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca sebenar perlantikan penjana-penjana kuasa ini,” menurut kenyataan syarikat itu di laman web rasmi mereka.

ADS