Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: 'Polis Islam' tak selesaikan masalah
Diterbitkan:  Jan 28, 2014 2:50 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Moahamad hari ini menolak cadangan memperkenalkan 'polis Islam' atas alasan ia tidak akan menyelesaikan masalah-masalah orang Islam.

“Secara terus-terang saya menyatakan saya tidak bersetuju dengan cadangan ini. Saya sembahyang, puasa, keluar zakat dan buat kerja haji bukan kerana polis akan tangkap saya jika saya tidak.

“Saya mengucap dua kalimah syahadan juga bukan kerana takut ditangkap. Saya tunaikan apa yang diwajibkan ke atas saya kerana saya beragama Islam, kerana kepercayaan dan iman,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi ( kanan ) semalam dilaporkan berkata, penubuhan unit 'polis syariah' bukan untuk mengambil alih peranan kerajaan negeri tetapi membantu pihak berkuasa negeri menguatkuasakan undang-undang, termasuk menangani kes ajaran sesat dan jenayah syariah.

Katanya, unit itu akan diletakkan dalam Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan akan membantu dari segi perundangan termasuk pentafsiran dan penelitian terhadap undang-undang berkaitan hal ehwal agama Islam peringkat negeri.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha pula dilapor menjelaskan, unit itu ditugas menguatkuasakan semua kesalahan jenayah Syariah dan bukan hanya berkaitan isu Syiah dan ajaran sesat sahaja.

Menulis dalam blognya hari ini, Dr Mahathir juga menegaskan tiada paksaan dalam Islam dan Islam tidak harus dijadikan sebagai agama “negara polis”.

Beliau berhujah, cadangan itu hendaklah dikaji secara mendalam kerana undang-undang Islam di Malaysia berbeza mengikut negeri, begitu juga dengan tanggapannya.

Kesan pada pelancongan

Malah, anggota penguatkuasa tidak mungkin terdiri daripada yang arif dalam agama Islam kerana antara ulama sekali pun terdapat perbezaan pendapat.

“Di sebuah negeri wanita dengan lelaki perlu diasingkan di pasar umpamanya. Akan ada wanita yang membeli-belah bersama suami. Apakah mereka mesti diasingkan bila membeli-belah?

“Di negeri lain tudung mungkin diwajibkan. Seluar mungkin terlalu ketat. Soalnya setakat mana longgar yang dibenar oleh polis?” Dr Mahathir memberi contoh.

Bekas perdana menteri juga menggambarkan penguatkuasaaan, seperti undang-undang pemakaian, akan turut memberi kesan kepada industri pelancongan negara.

“Polis akan tahan pelancong untuk bertanya mereka Islam atau tidak. Jika Islam mereka akan ditangkap atau diheret ke Jabatan Polis Islam.

“Pelancong bukan Islam tidak akan senang dengan disoal oleh polis,” tulisnya lagi.

ADS