Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah: Kazakhstan minat contohi Permata Negara
Diterbitkan:  Feb 12, 2014 7:24 AM
Dikemaskini: Feb 12, 2014 1:04 AM

Kazakhstan berminat untuk mencontohi usaha Malaysia memperkenalkan program penjagaan dan pendidikan awal kepada kanak-kanak, kata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata program-program di bawah Permata Negara adalah satu daripada minat mereka dan berhasrat untuk mengguna pakai serta bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakannya.

    

Bercakap kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Presiden dan Pengerusi International Information University Almaty (IITU), Prof Dr K.A Sagadiev di Seri Perdana semalam.

    

"Beliau (Dr Sagadiev) akan pulang ke Kazakhstan dan memberitahu kepada agensi yang berkaitan di sana untuk membincangkan kerjasama kita dalam bidang penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak dan program Permata negara," katanya.

    

Rosmah yang juga penaung Permata Negara berkata Dr Sagediev juga akan melakukan lawatan ke Pusat Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Rosmah berkata selain program permata pintar, perbincangan kira-kira satu jam setengah itu juga menekankan aspek kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi di mana Dr Sagadiev ingin menubuhkan universiti Kazakhstan-Malaysia di negara itu.

    

"Bidang akan diperhalusi lebih mendalam antara Kementerian Pendidikan dengan Dr Sagadiev tetapi akan lebih condong kepada teknologi maklumat, keselamatan siber dan keusahawanan," katanya.

    

Inisiatif mengadakan program penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak Permata Negara dimulakan pada Ogos 2005 bagi kanak-kanak rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik dan kemudian dikembangkan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang lain.

    

Bermula dengan lima pusat perintis Permata Negara, program penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak menggunakan konsep 'pembelajaran adalah menyeronokkan' telah dilaksanakan di 656 pusat melibatkan 27,000 kanak-kanak.

    

Selain Permata Negara, terdapat enam lagi inisiatif di bawah program itu iaitu Permata Pintar, Permata Insan, Permata Seni, Perkasa Remaja, Permata Kurnia dan Hospital Pakar Kanak-kanak Permata.

- Bernama

ADS