Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas wartawan kontroversi Utusan Malaysia Astora Jabat berkata, tulisan kontroversi mengenai agama lebih senang disiarkan di Malaysia berbanding negara Nusantara lain.

Beliau yang terkenal dengan polemik hudud sehingga difatwakan sesat oleh beberapa ulama menganggap umat Islam di Malaysia tidak bertindak ganas dan oleh itu masih mempunyai ruang untuk pemikiran berbeza.

Bagaimanapun, Astora yang kini bermastautin di Selatan Thailand mendedahkan, kerana kolumnya di Mingguan Malaysia, beliau menerima 8,000 e-mel, surat serta dua kali kiriman peluru hidup dari pihak yang tidak bersetuju.

"Soal hudud,  kita memang nak buka fikiran (masyarakat). Saya berani nak buat (tulis) di Malaysia ini... tapi tempat saya (Patani) saya dah tak berani," katanya ketika mengulas di “Seminar Pemikiran Dr Kassim Ahmad: Satu Penilaian” di Putrajaya hari ini.

Seminar itu dirasmikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir semalam.

Astora yang nama sebenarnya Hassan Abdul Rahman kini lebih senang berbicara dalam rancangan radio politik di Selatan Thai.

Graduan daripada Maghribi itu turut aktif menulis rencana berbahasa Arab.

Bagaimanapun beliau enggan dianggap sebagai pakar agama sebaliknya mengajak pembaca beliau sama berdiskusi dan berwacana ilmu dalam penulisan beliau.

"Saya wartawan. Saya bangga dianggap wartawan. Saya tak suka dianggap ustaz atau pakar agama," kata beliau.

Masalah Kassim bukan isi

Astora turut menganggap Kassim sebagai seorang penyelidik, pemikir dan ahli falsafah negara yang mempunyai pemikiran unik dan pandangan baik untuk dunia akademik negara.

"Pak Kassim ini pemikir yang hebat, orang yang buat kesimpulan mudah (terhadap beliau) tidak menyelidik.

"Masalah pandangan beliau bukannya isi tetapi pendekatan dan bahasa yang digunakan," kata beliau.

Antara artikel kontroversi Astora adalah rencana pada 17 Oktober 1999 yang membawa pandangan rambut wanita bukan aurat serta artikel bertajuk “Nabi suruh tolak hudud” pada 2 Ogos 2002.

ADS