Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA tolak jemputan, tak iktiraf MKPN
Diterbitkan:  Feb 22, 2014 3:29 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

NGO pendesak Melayu, PERKASA menolak jemputan untuk menghadiri sesi dialog Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) di Dewan Bahasa kerana ia tidak mengiktiraf MKPN, kata Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali.

Menurutnya, PERKASA dijemput secara rasmi untuk menghadiri sesi tersebut melalui faks yang diterimanya kelmarin.

"Bagaimanapun PERKASA tidak akan hadir kerana kami tidak iktiraf MKPN.

"Kami tidak iktiraf MKPN kerana dianggotai beberapa orang penggerak Comango yang memperjuangkan LGBT dan lain-lain perkara yg bercanggah dengan Islam dan Perlembagaan Persekutuan," kata Syed Hassan dalam satu kenyataan.

"PERKASA percaya MKPN tidak akan berjaya memainkan peranannya untuk perpaduan kerana beberapa anggotanya akan perjuangkan perkara-perkara yang pasti tidak akan diterima oleh orang Islam, Melayu dan Bumiputera," tambahnya.

Menurut Syed Hassan, PERKASA percaya perpaduan di Malaysia hanya wujud jika ekonomi negara tidak dimonopoli oleh sesuatu kaum sahaja.

"Kami percaya perpaduan sepenuhnya juga akan wujud jika sekolah-sekolah hanya ada satu aliran sahaja. Jika sekolah satu aliran di utamakan, murid-murid yang  berbagai kaum sudah boleh bergaul sesama mereka.

"Mana mungkin mereka kenal satu sama lain jika sekolah berasingan," tegasnya.

PERKASA juga, tegasnya, percaya perpaduan negara hanya wujud jika undang-undang tegas diambil terhadap mereka yang pertikaikan Perlembagaan Persekutuan, menghina agama yang dianuti rakyat negara ini, menghina Raja-Raja Melayu dan sebagainya yang boleh mendatangkan ketegangan antara kaum.

Oleh itu, tegas Syed Hassan, PERKASA melihat sesetangah anggota MKPN tidak mampu memastikan  perkara-perkara di atas dapat direalisasikan.

"Jadi, buat apa PERKASA buang masa untuk hadir ke majlis dialog itu," tambahnya.

PERKASA, tegas Syed Hassan, kesal isu rampasan Bible bahasa Melayu yang menggunakan Kalimah Allah di Selangor menjadi perkara penting kepada MKPN, sedangkan dalam terma dan rujukan MKPN menjelaskan isu-isu antara agama tidak dibincangkan dalam MKPN  kerana ianya telah mempunyai platformnya sendiri.

"Dalam terma dan rujukan MKPN menyatakan isu-isu agama telah mempunyai Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama ( JKMPKA ) yang telah ditubuhkan oleh Jemaah Menteri pada 24 Februari 2010.

"Bagaimanapun JKMPKA juga ditolak oleh NGO-NGO Islam sebelum ini.

"Tetapi isu Kalimah Allah telah menjadi perkara pertama dibincangkan oleh ahli MKPN dan mengeluarkan kenyataan pertama MKPN mengkritik JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) apabila Bible Melayu yang ada Kalimah Allah dirampas di Selangor baru-baru ini.

"Ini menunjukan MKPN tidak tegas dalam menuruti terma dan rujukan MKPN dan jelas berat sebelah bila isu agama yang tidak berpihak kepada majority anggotanya," tegasnya.

Kritikan MKPN, jelas Syed Hassan, jelas membela penganuti lain dan memperlekehkan undang-undang yang melindungi kepentingan Islam.

"Maka sudah jelas di peringkat awal lagi MKPN bertindak  secara tidak adil dan tidak jujur dalam tugas yang diamanahkan," tambahnya.

ADS