Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

25 Feb 2014

Perjalanan pulang dari Tehran adalah perjalanan membawa pulang resolusi-resolusi yang terbeban atas pundak semua ahli parlimen negara Islam.

Walaupun entah berapa resolusi yang telah dibawa pulang sebelum ini dari Nigeria, Negara Arab Bersatu (UAE) mahupun Indonesia, ia tetap terpikul atas pundak para perwakilan yang hadir.

Perjalanan ke Tehran kali ini bukan sahaja membawa misi negara tetapi ia adalah perjalanan peribadi setelah saya meninggalkan bumi Iran sejak tahun 1975-1979.

Ia adalah umpama kembali ke jalan memori silam mengimbau kenangan membesar selama 4 tahun di perantauan.

Menyusuri Zafaranieh

Zafaranieh mungkin nama jalan biasa dari beribu nama di kota Tehran, namun bagi saya ia adalah nama yang terpahat sejak umur saya 10 tahun kerana rumah Duta Besar Malaysia waktu itu terletak di sana.

Mendiami rumah agam dengan bendera Malaysia berkibar pukulan angin sejuk dari pergunungan Albaz adalah ingatan patriotik bercampur peribadi.

Rumah itulah menjadi tuan rumah setiap kali sambutan hari kebesaran negara diadakan seperti majlis sambutan kemerdekan 31 Ogos, malah rumah itu juga pernah menjadi tuan rumah kepada malam negara Asean untuk perpaduan serantau.

Sebagai anak kecil yang berumur 10 tahun lebih yang sudah pandai erti bersosial, kami selaku anak-anak duta tidak ketinggalan meraikankannya dengan kawan-kawan dari pelbagai negara yang turut datang bertandang.

 

Kami, kanak-kanak akan bermain di keliling kolam mandi jikalau musim panas dan jikalau musim sejuk akan bermain permainan Monopoly atau hanya menonton televisyen di ruang bilik yang selesa sementara bapa-bapa kami bersosial seperti mana para diplomat bersosial.

Saya berkesempatan menjenguk ke rumah lama kami yang kini didiami oleh Duta Besar Syria.

Tajrish Square

Tajrish Square begitu sinonim dengan saya kerana di pekan inilah ibu saya akan membeli-belah untuk keperluan harian kami.

Saya sering mengikuti ibu saya kerana membantu ibu berurusan dalam bahasa Parsi yang saya lebih petah sebagai kanak-kanak. 

Bau sayur yang segar dan buah “peach” atau tembikai susu membuatkan siapa sahaja ke Bazar Tajrish berasa segar di sebalik hiruk-pikuk para penjual dan pembelinya.

Saya ke sana bersama rombongan lain dan buat seketika seolah saya menjadi jurutunjuk pelancong sambil cuba membuat rekoleksi ingatan saya sedikit demi sedikit.

Saya terus membayangkan ibu saya dengan pembantu kami membawa bakul sambil ibu memilih dengan celotehnya meminta dikurangkan harga.

Memori itu cukup segar dan perasaan saya bercampur baur dengan perasaan seronok dan sayu mengenangkan bonda saya Hajjah Kalsom Ali sambil saya diam seketika mendoakan kesejahteraannya di sana.

Ayahanda saya akan mengajak saya berjalan pada petang-petang hari dari Zaafaranieh Street ke Tajrish Square yang hanya memakan masa 40 minit pergi dan balik.

Kami akan mengenakan pakaian yang tebal siap bersarung tangan di musim sejuk sambil berjalan pantas sepertimana gaya orang Iran berjalan.

Ayah akan banyak bertanya khabar tentang sekolah saya, kawan-kawan saya dan diselang seli dengan nasihat-nasihat.

Tanpa kami sedari perjalanan kami membawa kami ke kedai aiskrim Bostani Tajrish. Tempat itu terkenal sebagai pusat aiskrim lokal dan anehnya dinikmati semasa musim sejuk.

Saya juga, dalam sembang-sembang saya dengan ayahanda, saya akan cuba memujuknya untuk mendapatkan sesuatu sebagai kanak-kanak, semasa kami “window shopping” di kedai-kedai berhampiran dan kadang-kadang saya berjaya mendapatkannya.

Semasa kereta kami menyusur dari Zafaranieh ke Tajrish mata saya merenung ke arah kaki lima dan membayangkan saya dan ayahanda berjalan sambil mulut kami berasap kesejukan dan wajah ayah yang penuh kasih sayang segar dalam ingatan saya memerhatikan saya seoalah-olah terfikir masa itu apakah nasib dan masa depan anaknya ini? 

Kalaulah saya boleh menjawab persoalannya yang tidak diluahkan itu nescaya dia akan senyum bangga hari ini.

British School

Saya diberitahu oleh pegawai kedutaan bahawa British International School kini menjadi German International School.

Saya dengan susah menerangkan kepada pemandu kami Aghaye (bermaksud saudara) Isa nama jalan yang masih saya ingat tapi malangnya ia telah bertukar kepada nama jalan baru selepas revolusi iaitu Syariati Road.

Lanskapnya pun telah berubah, pintu hadapan tempat kami masuk kini jejambat tiga tingkat manakala kedai kecil tempat kami membeli jajan sambil menunggu kereta kami sudah tidak ada.

Van kami melalui pintu belakang yang kini sudah menjadi pintu utama dan dikawal ketat untuk kami masuk ke dalam sekolah.

Saya memperkenalkan diri sebagai bekas pelajar dan menyatakan hasrat untuk masuk ke dalam bersama ahli rombongan lain bagi meninjau sekolah lama saya.

Pintu utama yang dulunya bahagian belakang bangunan sekolah membawa kami ke padang bola dan beberapa bangunan baru yang semasa saya bersekolah dahulu hanyalah kawasan kosong tempat kami bermain.

Kami disambut oleh pegawai wanita daripada bahagian pentadbiran dan setelah saya memperkenalkan diri, wanita tersebut berbesar hati membawa kami melawat perkarangan sekolah. Bangunan gimnasium masih seperti keadaannya manakala bilik kelas potery kini menjadi kelas tadika.

Saya teruja untuk melihat kelas saya dan bangunannya masih di situ kecuali sebahagian besar tingkat atas bangunan dua tingkat itu dijadikan perpustakaan. Kami turut melawat perpustakaan dan sempat bermesra dengan pegawai di situ.

Saya menerangkan kepada ahli rombongan keadaan sekolah dan lokasi-lokasinya sambil mereka memberi perhatian malah pegawai yang mengiringi kami juga tidak dapat membayangkan keadaan sekolah ini 30 tahun yang lalu.

Di bahagian depan sekolah yang kini jadi belakang telah dipecahkan sebahagian bangunannya untuk memberi jalan kepada jalanraya bertingkat bernama Ayotullah as-Sadri yang boleh dilihat dari dalam kompoun sekolah.

Dewan tempat kami membuat pertunjukan masih ada cumanya kini ia bertukar menjadi kelas untuk pra-sekolah.

Malangnya sungai kecil yang kami namakan “jube” kini sudah tidak mengalir lagi, mungkin kerana pembangunan di sekitar kawasan di situ menyebabkan air bukit yang segar itu sudah tidak lagi bermaya untuk mengalir.

Saya menceritakan kepada rombongan kami bahawa pada musim sejuk apabila airnya beku, kami akan main luncur ais hanya dengan kasut sekolah kami sambil dimarahi oleh guru-guru yang bertugas kerana takut bahagian aisnya yang nipis akan membahayakan kami.

Itulah hari-hari saya semasa musim sejuk bermain semasa rehat.Sekolah yang dulunya sibuk dengan pelajar dari pelbagai negara kini sunyi dan hanya tinggal 100 pelajar sahaja.

Saya sempat bertanya hal ini kepada  timbalan  pengetua bahagian akademik Mr Karl akan keadaan ini yang sangat ketara.

Beliau yang berbangsa Jerman mengeluh, sambil berkata, “Panjang ceritanya...” Walhasil pihak kedutaan Jerman mengambil alih sekolah setelah Kerajaan Iran mengarahkan sekolah British ditutup atas alasan keselamatan dan oleh kerana Iran lebih mesra dengan kerajaan Jerman maka kedutaan Jerman mengambil alih sekolah dengan kurikulum baru dan menyerap masuk pelajar ke dalam sistem Jermannya.

Ramai yang kemudiannya terpaksa pindah ke sekolah lain, apatah lagi bilangan warga luar negara di Iran semakin sedikit. Karl terus mengeluh bahawa tahun depan tamatnya kontrak sewa tapak dari Kedutaan British dan mereka terpaksa memikirkan tempat yang baru.

Kami simpati dan hanya sempat menyatakan harapan kami supaya sekolah ini terus dipelihara. Karl membawa kami hingga ke pintu masuk kami tadi sambil saya mengucapkan selamat tinggal kepada sekolah lama saya di mana saya kenal erti kepelbagaian agama, bangsa dan warga dunia Timur dan Barat.

Selamat tinggal Tehran

Penerbangan kami pagi 20 Feb 2014 meninggalkan pelbagai kenangan membawa nama negara di persada Persidangan Ahli Parlimen Negara Islam dan buat saya ia adalah perjalanan teristimewa memberi peluang saya mengimbau sejarah kanak-kanak saya membesar di bumi asing.

Saya terkenangkan wajah pemandu kami Mr Karim, tukang kebun kami Mr Ahmad dan pembantu-pembantu kain, Mr Gohari,  Mr Boshe dan lain-lain.

Kalau mereka masih hidup pun pastinya umur mereka terlalu lanjut namun pohon dan sungai kecil kiri-kanan jalan utama ke rumah kami akan menjadi saksi bahawa mereka pernah melihat saya, ayah saya dan ibu saya serta kakak saya melalui jejak-jejak ini.

Apakan daya kedatangan kali ini bukan “Mujahid kanak-kanak nakal berumur sepuluh tahun” tetapi “Mujahid yang kini mewakili ahli parlimen Malaysia di mana Tehran adalah tuan rumahnya”.

Hingga kita bertemu lagi wahai Tehran.


Bahagian I: Kembali ke Iran

Bahagian II: Dingin malam Tehran

Bahagian III: Kenangan makan kebab Bakhtiari, roti Taftun

Bahagian IV: Resolusi Tehran & bahaya 'halal darah'

ADS