Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ISMA serah laporan, petisyen isu Comango
Diterbitkan:  Mar 3, 2014 4:19 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyerahkan laporan dan petisyen mendesak kerajaan menolak "tuntutan melampau" Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia PBB kerana bercanggah dengan Islam dan perlembagaan negara.

Laporan setebal 200 muka surat dan salinan 740,000 tandatangan rakyat Malaysia itu, diserahkan oleh Timbalan presiden ISMA Aminuddin Yahya kepada Timbalan Menteri Luar Negara Datuk Hamzah Zainudin di Wisma Putra, Putrajaya, 11 pagi tadi.

Dokumen itu antara lain merangkumi laporan aktiviti kempen penerangan mengenai bahaya Comango melalui ratusan siri ceramah, liputan berita, penulisan artikel, rencana, penyebaran risalah dan kempen atas talian di internet yang dikelolakan ISMA sejak Oktober 2013.

"ISMA yang mewakili seluruh rakyat Malaysia mendesak kerajaan agar bertindak tegas ke atas Comango tanpa rasa risau dengan apa-apa tekanan terutamanya daripada PBB dan negara luar.

"Selaku negara berdaulat, sebarang usaha yang mencabar kedaulatan Islam dan Melayu yang menjadi teras kenegaraan perlu disekat sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa," kata Aminuddin dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya menunjukkan pendirian serius dan tegas dalam mempertahankan kedaulatan negara, ketinggian Islam sebagai agama negara, maruah bangsa dan kepentingan nasional.

Comango yang membawa laporan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menuntut antaranya kebebasan untuk murtad sebagai hak kebebasan beragama dengan menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan keIslaman seseorang itu.

Selain itu, Comango menuntut menghapuskan undang-undang jenayah syariah yang berkuat kuasa; mengiktiraf hak pengamal lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT); menghalalkan perzinaan atas alasan kedua-dua pihak rela dan bersetuju.

ADS