Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DCA: M'sia tetap ketuai pencarian MH370
Diterbitkan:  Mar 14, 2014 8:00 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Malaysia bertegas untuk terus mengetuai operasi mencari dan menyelamat pesawat penerbangan MH370 mengikut peruntukan ditetapkan dalam protokol Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Datuk Azaharuddin Abdul Rahman menegaskan demikian dalam sidang media hari ini, ketika operasi berlarutan di hari ketujuh tanpa petunjuk jelas.

Katanya, Malaysia mematuhi protokol ICAO untuk operasi menyiasat kemalangan pesawat dan siasatan kemalangan itu.

“Negara pendaftar pesawat adalah Malaysia dan kami mematuhi dengan tegas (protokol) ICAO,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan seorang wakil media antarabangsa.

Isu kecekapan Malaysia dalam menangani operasi ini menjadi tumpuan media berkenaan yang kesal kerana tidak dapat membuat pengesahan ke atas beberapa maklumat dan petunjuk yang diterima daripada sumber.

Pada hari ini muncul dua lagi petunjuk – salah satunya dari pasukan China yang mengesan gegaran di satu kawasan di dasar laut antara Vietnam dan Malaysia pada 8 Mac.

Gegaran yang dikesan oleh pakar seismologi di sebuah universiti negara tersebut menimbulkan spekulasi bahawa pesawat berkenaan mungkin terhempas ke permukaan laut pada kedudukan kira-kira 150 kilometer dari selatan Vietnam.

Kemungkinan kedua pula memberi gambaran bahawa pesawat berkenaan mungkin terlibat dengan perbuatan sabotaj atau rampasan.

Sumber yang dekat dengan penyiasatan berkenaan memberitahu agensi Reuters bahawa bukti dari jejak radar tentera memberi gambaran bahawa pesawat membawa 239 orang itu dilencongkan melintasi semenanjung Malaysia ke arah kepulauan Andaman.

Turut menjadi tumpuan adalah berhubung isyarat data enjin pesawat Boeing 777-200 itu, yang dilaporkan dikesan selepas pesawat tersebut terputus hubungan.

Isyarat itu seterusnya dilaporkan memberi pedoman kepada pasukan penyelamat Amerika Syarikat untuk meluaskan pencarian ke Laut Andaman dan Laut Hindi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang bercakap dalam sidang media hari ini mengesahkan bahawa operasi kini diperluaskan kerana pencarian di kawasan sebelumnya tidak membuahkan hasil.

Katanya, operasi kini diperluas ke Laut China Selatan, Laut Andaman dan Laut Hindi dengan mengambil kira semua petunjuk.

“Sangat tidak bertanggungjawab jika kita tidak teruskan pencarian di Laut China Selatan.”

Ketika ditanya, beliau tetap enggan mengesahkan petunjuk baru itu yang dilaporkan, yang menurutnya perlu diselidik terlebih dahulu.

“Melainkan mereka tampil dengan bukti khusus, saya tidak akan melayan soalan seperti itu,” katanya.

Kenyataan penuh

Berikut Bernama melaporkan kenyataan penuh Hishammuddin di sidang berita mengenai misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, di Sepang, Selangor hari ini.

    

"Kini masuk hari ketujuh misi mencari MH370. Pada masa ini, terdapat 57 kapal dan 48 pesawat terbabit dalam misi mencari. Sebanyak 13 negara terbabit.

"Keutamaan kami adalah untuk mencari pesawat ini. Kami menggerakkan usaha mencari berdasarkan semua petunjuk, dan kami terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa kami.

    

"Kami bersyukur dengan bantuan diberikan rakan-rakan dan jiran-jiran, yang terus membantu kami dengan berkongsi data dan sumber mereka dalam usaha kami mencari MH370.

    

"Saya bercakap mewakili rakyat Malaysia apabila saya berkata kami setulus hati turut berdoa bersama-sama keluarga dan rakan kepada mereka yang berada dalam pesawat itu".

    

Maklumat baru

    

"Terdapat banyak spekulasi dalam media hari ini selepas ulasan daripada pegawai AS yang tidak dinamakan mencadangkan pesawat itu mungkin telah terbang untuk tempoh tertentu sebelum terputus hubungan.

    

"Mengikut prosedur standard, pasukan penyiasat tidak akan mengeluarkan maklumat kepada umum sehingga ia disahkan dan diperakui oleh pihak berkuasa relevan. Kami juga tidak mahu dilibatkan dengan laporan kenyataan pegawai tidak dinamakan itu kepada media.

    

"Sejak Ahad, kami telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa kami, termasuk pasukan AS, yang pegawai mereka telah berada di sini di Kuala Lumpur.

    

"Sejak Rabu, pasukan penyiasat Malaysia telah berkongsi lebih banyak maklumat terperinci, sebaik sahaja menerima maklumat itu, untuk pengesahan.

    

"Pasukan antarabangsa kini sedang berusaha mengesahkan maklumat terperinci itu, tetapi ketika ini tiada apa-apa untuk kami sahkan.

    

Memperluas penyiasatan

    

"Pesawat ini masih hilang, dan kawasan pencarian diperluaskan. Dua hari lepas, kawasan pencarian diperluaskan untuk memasukkan Laut Andaman.

    

"Bersama-sama dengan rakan-rakan antarabangsa kami, kami kini bergerak lebih jauh ke timur kawasan Laut China Selatan, dan lebih jauh di Lautan Hindi.

    

"Tiada apa yang lebih kami harapkan selain daripada menemui pesawat ini dengan secepat mungkin. Tetapi keadaan telah memaksa kami untuk memperluaskan kawasan pencarian kami.

    

"Satu penyiasatan biasa menjadi semakin mengecil mengikut masa, dengan fokus pencarian dibuat berdasarkan maklumat baharu. Tetapi ini bukan penyiasatan biasa. Dalam kes ini, maklumat yang kami ada memaksa kami untuk mencari ke kawasan yang lebih jauh.

    

Data enjin

    

"Semalam kami menyangkal laporan media yang memetik kenyataan pegawai yang tidak dinamakan bahawa data enjin menunjukkan pesawat itu terus terbang selama beberapa jam selepas membuat hubungan terakhir. Kami menghubungi Boeing dan Rolls Royce, yang menyatakan laporan itu tidak benar.

    

"Hari ini, Rolls Royce mengeluarkan kenyataan yang menyatakan, dan saya petik, ‘Rolls Royce akan terus memberikan bantuan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan Malaysia Airlines. Rolls Royce mengesahkan kenyataan dibuat pada Khamis 13 Mac oleh Menteri Pengangkutan Malaysia berhubung data pemantauan keadaan enjin yang diterima daripada pesawat itu".

    

Tompokan minyak

    

Semalam, pihak berkuasa mengesan dua tompokan minyak di Laut China Selatan, 60 batu nautika selatan pada titik terakhir hubungan dengan MH370.

    

Tompokan minyak yang pertama telah disiasat dan dianalisis dan didapati mengandungi minyak pesawat pada kadar amat kecil. Tiada serpihan ditemui di kawasan itu. Kami percaya tompokan minyak itu tiada kaitan dengan MH370.

    

Sampel daripada tompokan minyak yang kedua juga telah disiasat dan dianalisis dan tidak mengandungi minyak pesawat.

    

Kenyataan rumusan

    

Pasukan penyiasat menggunakan semua petunjuk yang dapat membantu mengesan lokasi pesawat yang hilang itu. Apabila kami menerima maklumat baharu, dan sebaik sahaja ia disahkan, kami akan bertindak. Apabila terdapat sebarang kemungkinan, kami bertanggungjawab untuk menyiasatnya.

    

Daripada awal krisis ini, kami telah bekerjasama dengan semua pihak berkuasa relevan, termasuk agensi antarabangsa, pakar dan syarikat pembuat pesawat.

    

Kami mengadakan mesyuarat teknikal setiap hari dengan semua pemain utama. Kami mematuhi protokol ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Antarabangsa, Kami sentiasa berhubung dengan negara-negara jiran kami. Dan kami mengalu-alukan semua tawaran bantuan antarabangsa. Kami komited kepada satu matlamat: mencari MH370."

    

ADS