Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Selangor Rodziah Ismail mengakui pihaknya mengakui terlepas pandang berhubung isu bayaran RM16,000 untuk dua lukisan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Beliau juga berkata akan mengambil iktibar daripada ketidakcekapan untuk melunaskan pembayaran pada masa akan datang.

"Pada hari Rabu, isu (bayaran lukisan) tersebut dibangkitkan oleh YB Ahmad Yunus yang mengakui duit bayaran belum dibayar kerana beliau pengerusi jawatankuasa tetap PADAT... (Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Beliau agak terkejut.

"Jadi ketidakcekapan berlaku. Jadi saya yang ada kaitan dalam isu (INI) ambil tanggungjawab untuk memastikan isu diselesaikan secepat mungkin," kata Rodziah dalam sidang medianya menjelaskan isu itu di pejabatnya di Shah Alam hari ini.

Rodziah juga berkata beliau telah menulis surat kepada Samad bagi menjelaskan bahawa bayaran dan urusan pembelian lukisan itu diuruskan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT).

PADAT berada bawah seliaan Ahmad Yunus yang memegang portfolio belia dan sukan, infrastruktur dan kemudahan awam.

Dalam pelancaran novel Pak Samad bertajuk Sungai Mengalir Lesu pada Selasa, penulis Uthaya Sankar SB membangkitkan soal pembelian dua lukisan tokoh sastera itu yang berharga RM16,000 yang didakwa gagal dibayar oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Rodziah kemudiannya menjelaskan kerajaan negeri akan menjelaskan bayaran tersebut secepat mungkin - lebih setahun selepas kerajaan negeri menyatakan hasrat mahu membeli lukisan berkenaan.

Menjelaskan perkara itu, Rodziah yang ketika itu memegang portfolio kebudayaan berkata hasrat itu dinyatakan oleh kerajaan negeri dalam satu majlis keraian mengangkat Pak Samad sebagai Sasterawan Tamu bagi negeri itu pada 26 September 2012.

Beri geran

Beliau menjelaskan dalam majlis yang diadakan pada tarikh tersebut, kerajaan negeri telah menganugerahkan bayaran RM10,000 berbentuk geran kepada Pak Samad untuk terus berkarya.

Rodziah berkata bayaran tersebut telah dilunaskan dan beliau juga menunjukkan bukti pembayaran yang dibuat pada 5 Februari tahun lalu.

Menurutnya lagi, beliau "tidak ada secara langsung" terlibat dalam proses rundingan berkaitan harga lukisan berkenaan dan beliau juga tidak berada dalam lembaga pengarah badan itu pada hujung 2012.

Ditanya mengapa PADAT lambat membuat bayaran sehingga perkara ini berlanjutan lebih setahun, Rodziah – yang tidak lagi memegang portfolio itu – berkata:

"Itu juga menjadi tanda tanya saya, di mana puncanya. Jadi wajarlah bertanya kepada YB Yunus. Sebab Saya penganjur (ketika itu) bertanggungjawab membawa kertas cadangan untuk memohon pengiktirafan exco bahawa A Samad Said menjadi Sasterawan Tamu di Selangor.

"Jadi ditanya kenapa lama, saya juga tertanya kenapa lama. Sebelum itu, pada 29 Januari 2013 saya juga menghantar nota peringatan (supaya membayar). Jadi wajarlah pihak itu menimbulkan tanda tanya dalam media supaya kami tersedar balik," katanya

Ditanya sama ada pihak yang membangkitkan isu ini dianggap mahu mengagalkan usahanya bertanding jawatan Ketua Wanita PKR dalam pemilihan parti, ADUN Batu Tiga itu berkata beliau tidak ada komen mengenainya dan tidak tahu niat pihak tersebut.

"Tapi saya melihat ia sebagai satu keluhan terhadap pentadbiran kerajaan negeri supaya dipercekapkan lagi," katanya.

ADS