Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Exco Selangor Rodziah Ismail menjelaskan beliau tidak pasti sama dua lukisan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang dibeli untuk dihadiahkan kepada pemimpin utama PKR telah diserahkan kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) untuk tujuan pameran.

Katanya, urusan pembelian lukisan tersebut diuruskan oleh PADAT - yang mana pejabatnya terletak di alamat Muzium Sultan Alam Shah - di tengah-tengah bandar raya Shah Alam.

"Kita setuju untuk menghadiahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Kerajaan negeri tidak boleh beli terus, jadi kita beli melalui PADAT dan diserahkan kepada mereka.

"Jadi kena rujuk kepada PADAT sama ada mereka (Anwar dan Khalid) menyerahkan lukisan itu (kembali) kepada PADAT untuk dipamerkan. Nama pun hadiah...," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Sebelum itu, dalam sidang media di pejabatnya hari ini, Rodziah berkata tidak salah kerajaan negeri menghadiahkan dua lukisan itu kepada Anwar dan Khalid atas kapasiti mereka sebagai penasihat ekonomi dan menteri besar.

"Malah pembelian itu dibincang dan (harganya) dipersetujui kedua-dua pihak," kata Rodziah yang juga ADUN PKR Batu Tiga.

Diminta mengulas kritikan dan rungutan mengenai kelemahannya sewaktu beliau memegang portfolio kebudayaan, Rodziah berkata beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Sebaliknya, kata Rodziah, pelbagai usaha dan persembahan yang dilakukan untuk merakyatkan budaya di negeri itu dan ia juga mendapat sambutan termasuk berpeluang merapati peluang penggiat seni dan pelbagai persatuan.

Malah, katanya bajet untuk kebudayaan turut ditambah menjadi RM500,000 di samping mengadakan festival jalanan di semua sembilan daerah di negeri itu.

"Ia mendapat sambutan. Pelbagai usaha kerajaan negeri buat dan memberi sokongan," katanya sambil menambah kerjasamanya dengan KOMAS menganjur festival filem dokumentari pendek setiap tahun, turut mendapat perhatian antarabangsa.

ADS