Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP PAS dari Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa anggota Parlimen bukan beragama Islam agar menyokong undang-undang hudud untuk Kelantan sekiranya ia dibentangkan di Parlimen.

Menurut Khairuddin, anggota Parlimen bukan Islam wajar membawa hasrat pengundi beragama Islam yang menyokong mereka dan sedar bahawa melaksanakan undang-undang jenayah Islam adalah satu kewajipan.

Menurutnya lagi, MP bukan beragama Islam juga tidak perlu gusar kerana undang-undang itu hanya dikenakan ke atas mereka yang beragama Islam.

"Kita juga mengharapkan sokongan ahli-ahli Parlimen bukan Islam yang membawa mandat pengundi-pengundi Islam atas kesedaran bahawa undang-undang jenayah Islam adalah satu kewajipan beragama bagi Muslim dan hanya dikenakan kepada orang Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menggesa agar MP dari BN membentangkan usul bagi meminda Perlembagaan itu di Parlimen.

Jelas beliau ini kerana hal berkaitan jenayah yang akan tertakluk di bawah hudud sekiranya ia dilaksanakan, buat masa ini adalah di dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

"PAS menyedari bahawa pelaksanaan undang-undang yang telah dikanunkan terbatas dan terhalang oleh Jadual 9 Perlembagaan yang meletakkan kuasa perundangan jenayah adalah di bawah kuasa kerajaan Persekutuan dan bukannya kuasa kerajaan negeri.

"Maka menjadi kewajipan bagi ahli Parlimen Islam di Malaysia berusaha dengan apa sahaja kaedah dan cara di Parlimen yang membolehkan pelaksanaan undang-undang tersebut di peringkat negeri.

"Kita menyambut baik kenyataan menteri di jabatan perdana menteri di Parlimen baru-baru ini yang menegaskan bahawa kerajaan pusat tidak ada halangan untuk mana-mana negeri melaksanakan undang-undang jenayah islam.

"Kenyataan itu perlu disusuli dengan tindakan oleh kerajaan pusat untuk membawa sebarang pindaan perlembagaan ke Parlimen atas nama kerajaan yang berkuasa yang membolehkan ia dilaksanakan di peringkat negeri," katanya lagi.

MP Ketereh dari BN, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk menyokong usul hudud Kelantan dengan syarat sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat tidak membantah cadangan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, juga telah menyatakan kesediaannya untuk menyokong usul tersebut.

ADS