Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tahun baru Telugu 2014 yang disambut di Brickfields, Kuala Lumpur petang ini menyaksikan masyarakat tersebut menerima dua berita baik dari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Telugu Malaysia untuk mengangkat tahap pendidikan masyarakat berkenaan yang menurutnya membentuk 20 peratus kaum India di Malaysia.

"Dengan wang ini boleh membantu anak-anak kaum Telugu belajar serta berjaya dalam pelajaran dan wang ini juga boleh digunakan untuk melatih guru-guru dalam bahasa Telugu," katanya sewaktu berucap dan hadir sebagai tetamu kehormat di Karnival Ugadi dan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Telugu 2014.

Beliau yang juga menteri pelajaran turut mengumumkan yang kementerian tersebut akan mempertimbang untuk memperkenalkan semula bahasa Telugu sebagai salah satu matapelajaran di sekolah.

"Saya akan beritahu kepada kementerian pelajaran apa yang kita boleh lakukan tidak lama lagi," katanya lagi.

Beliau turut mencuri kesempatan menyeru orang Telegu agar terus menyokong BN pada masa-masa akan datang.

"Kerajaan BN akan terus menyokong anda selagi anda terus menyokong kerajaan BN," katanya.

Turut hadir pada program anjuran Persatuan Telugu Malaysia petang ini adalah presiden persatuan, Dr Achaiah Kumar Rao; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan; Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia, Prem Dutt serta Timbalan Pesuruhjaya India ke Malaysia, Dr Acquino Vimal.

 

ADS