Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dewan Rakyat akan membahaskan usul bagi menambah baik Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang didakwa tidak berkesan dan tidak menepati fungsi utamanya.

Usul itu dikemukakan Stephen Wong Tian Fatt (DAP-Sandakan) hari ini ekoran kejadian jenayah termasuk pencerobohan dan penculikan masih berlaku di kawasan itu.

Sedangkan, katanya, Esscom mendapat peruntukan besar daripada kerajaan untuk membasminya.

Beliau mengemukakan usul itu berdasarkan peraturan mesyuarat 18(1), berkaitan perkara melibatkan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

"Oleh yang demikian, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana wang rakyat telah digunakan oleh Esccom .

“Persoalan dan masalah yang timbul atas kegagalan Esscom mesti dibincang di Dewan Rakyat, kerana ini adalah kepentingan rakyat, khususnya di pesisiran pantai timur Sabah.

"Dewan juga perlu membincangkan perkara ini untuk mencari jalan penyelesaian lebih baik kepada pertahanan di negeri Sabah," katanya.

Timbalan Speakar Datuk Ronald Kiandee yang mempengerusi sidang itu berkata beliau berpuas hati usul yang dikemukakan kepadanya pada 3 April lalu yang menepati peraturan sekali gus menerima untuk perbahasan.

"Saya memberikan kebenaran supaya usul ini dibahaskan," katanya sambil diiringi dengan sorakan gembira MP yang berada dalam Dewan.

Sehubungan itu, Ronald memberi masa selama sejam bermula 4.30 petang ini untuk perbincangan berkaitan..

Beliau memberikan tempoh 30 minit untuk usul itu dibentangkan dan 30 minit lagi kerajaan perlu menjawabnya.

ADS