Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hasrat anggota Parlimen Pakatan Rakyat untuk mendengar taklimat berhubung kehilangan pesawat MH370 yang dijadual esok masih tidak menjadi kenyataan.

Ini ekoran kerajaan hanya akan mengadakan taklimat selepas kesemua jawatankuasa berkaitan menjalankan siasatan dan terdapat maklumat baru untuk disampaikan.

"Pada ketika ini, segala tumpuan sedang diberikan terhadap proses memastikan perjalanan serta pelaksanaan semua jawatankuasa ini berada di tahap yang terbaik,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Oleh yang demikian, pihak kerajaan berpendapat taklimat lebih menyeluruh hanya akan disampaikan setelah jawatankuasa-jawatankuasa ini menjalankan siasatan dan terdapat fakta-fakta baru untuk diberi penerangan.”

Pelbagai jawatankuasa penyiasat ditubuhkan bawah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan jawatankuasa carian dan menyelamat peringkat antarabangsa.

Awal bulan ini dilaporkan taklimat itu dibatalkan selepas Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dapat memberi taklimat kepada gabungan pembangkang itu kerana terpaksa ke Hawaii.

Surat permohonan untuk mengadakan taklimat kali ini dipohon oleh MP Anthony Loke (DAP-Seremban) pada 2 April lalu.

Loke ( kiri ) meminta taklimat peristiwa itu diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Hishammuddin sendiri.

"Saya amat berharap YB Loke Siew Fook agar bersetuju untuk menerima cadangan kerajaan ini kerana beliau juga telah bersetuju untuk menerima apa-apa cadangan lain," katanya.

Shahidan yang juga MP Arau turut menegaskan "tiada apa yang disembunyikan" kerajaan berhubung insiden itu.

Menurutnya lagi, semua maklumat serta perkembangan terbaru telah disampaikan secara telus dalam sidang media yang disiarkan secara meluas.

ADS