Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata usaha untuk mahu menjatuhkan imej negara di luar negara termasuk dakwaan membocorkan maklumat kerajaan dianggap melakukan "perbuatan tidak bermoral".

Sebaliknya, beliau mengingatkan jika ada anggota parlimen khususnya pembangkang yang tidak berpuas hati mengenai pentadbiran negara, maka boleh membangkitkannya dalam parlimen untuk dibahaskan.

"Dari segi moral ia sudah pasti tidak bermoral. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, Kalau sekiranya tempat kita makan, (dan) berak di tempat itu, (dan) kita mengotor tempat tersebut, itu perbuatan tak bermoral.

"Kalau dari segi moral, ia paling rendah. Jika kita tidak puas hati tentang pentadbiran, kita berbincang dalam Dewan yang mulia ini," kata Shahidan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

"Saya tengok pembangkang ada yang bagus, bukan semua tak bagus, dan sentiasa mengikuti program kerajaan. Bila mereka keluar negara bersama kita, mereka cakap mempertahankan kerajaan.

"Cukup bagus, saya hampir berkata kenapa mereka tak mahu sertai kita, mereka kata akan masuk tapi perlahan-lahan lah. Terima kasih," kata bekas menteri besar Perlis.

Shahidan (BN-Arau) berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) berhubung langkah kerajaan untuk mengelakkan kebocoran maklumat kepada pihak luar.

Soalan itu menyusul selepas Nik Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas, kiri ) bertanya mengenai laporan aktiviti pengintipan beberapa buah negara terhadap Malaysia dalam sesi soal jawab pagi ini.

Menurut Shahidan yang juga bekas menteri besar Perlis, anggota parlimen tidak akan terlepas jika melanggar undang-undang sekiranya didapati membocor rahsia kerajaan.

"Tak kira pakai baju apa, baju merah ke, tindakan diambil kepadanya... Siapa hina negara di luar negara, di depan orang lain, dianggap moralnya rendah," tegas Shahidan.

ADS