Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Agam Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan mengambil langkah memperbaiki pengurusan aktiviti Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) yang diberi penarafan “kurang memuaskan” dalam laporan audit.

KITAB diuruskan oleh Usaha Tarbiah Pulau Pinang Sdn Bhd (USTB), syarikat milik MAINPP.

Yang Dipertua MAINPP Salleh Man berkata, lembaga pengarah USTB akan dirombak dan diganti baru.

“Ahli-ahli lembaga pengarah USTB yang menguruskan KITAB juga akan dirombak dan dibuat pelantikan baru dari kalangan tokoh-tokoh akademik berwibawa dan pemimpin yang berkaliber.

“Pelantikan tersebut akan dibuat dalam masa terdekat, kata Salleh, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

“Kampus induk KITAB yang lebih luas, selesa, canggih dan sesuai dengan keperluan akademik semasa juga sedang dikaji dan akan dilaksanakan."

Salleh juga berkata, KITAB sekarang menjadi fokus utama di MAINPP untuk sesi ini.

Dalam siri pertama laporan untuk 2013 ini, ketua audit negara antaranya mendapati UTSB mengambil pensyarah tanpa permit mengajar untuk bekerja dengan mereka.

Selain itu, tiga daripada lima program diplomanya hanya diberikan penarafan sementara oleh Agensi Kelayakan Malaysia manakala tiga program ijazahnya tiada sebarang kelayakan daripada agensi itu.

ADS