Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Laporan Ketua Audit Negara 2013 mendapati projek yang dibiaya bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dari tahun 2010 hingga 2011 masih belum disiapkan dan tidak mencapai sasaran.

Laporan itu menyebut, skim dengan dana RM353.20 juta itu masih diteruskan. Salah satu daripada lima program kajian tersebut diperuntukkan keseluruhan RM1 bilion mengikut Rancangan Malaysia Ke-10.

Menurut laporan itu, masalah itu berpunca dari kelemahan pemantauan Jabatan Perancangan Kecemerlangan IPT di Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Bahagian ini menerima laporan  prestasi projek dua kali setahun daripada IPTA (bulan Februari dan Ogos),  bagaimanapun tidak mengambil tindakan susulan walaupun projek tidak tamat  dalam tempoh sepatutnya...

“Selain itu, kementerian kurang tegas dalam memantau pencapaian projek dan kewangan. Semakan audit mendapati kementerian masih memberikan geran  kepada IPTA walaupun projek terdahulu gagal dilaporkan.

“Para penyelidik di  IPTA pula kurang mengambil berat terhadap penyediaan laporan kemajuan  projek penyelidikan serta tidak mematuhi tempoh yang ditetapkan bagi  menyiapkan sesuatu projek,” laporan itu dipetik.  

Audit yang dijalankan ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu mendapati hanya 61 peratus daripada projek yang bermula pada 2010 disiapkan, manakala hanya sebanyak 19 peratus daripada projek yang bermula pada 2011 disiapkan.

Projek berkenaan sepatutnya siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun daripada perolehan geran, walaupun ada di antaranya diberikan lanjutan selama satu tahun.

Audit tersebut mendapati jumlah calon PhD meningkat 3,711 orang ketika FRGS dilancarkan pada 2006, kepada 11,507 pada 2012.

Universiti tempatan juga dilaporkan menarik 91,670 orang pelajar asing pada 2011, berbanding 47,928 pada 2007.

Bagaimanapun, audit mendapati jumlah ini tidak memadai kerana tidak memenuhi sasaran untuk menghasilkan lebih ramai penyelidik.

Menurut laporan itu, sebanyak 34.5 peratus daripada 29 projek yang diaudit tidak memenuhi objektif untuk melatih sekurang-kurangnya seorang pelajar Sarjana.

“Pihak  kementerian didapati tidak membuat analisis perbandingan hasil projek yang  sepatutnya dicapai berbanding dengan pencapaian sebenar.”

Dalam maklum balasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia menyebut bahawa projek yang menerima geran RM30,000 ke bawah tidak berkemampuan untuk melatih pelajar PhD atau Sarjana kerana ia memerlukan sekurang-kurannya RM42,000.

Bagaimanapunm universiti berkaitan berjanji untuk memastikan penyelidiknya memenuhi sasaran prestasi dan mengeluarkan arahan bertulis mengenai perkara itu.

[Baca berita penuh]

ADS