Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ADUN pembangkang Selangor menyalahkan penasihat ekonomi kerajaan Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dakwaan gagal membina projek Langat 2 sehingga menyebabkan krisis air berlarutan.

Seorang daripadanya, ADUN Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi berkata, warga Selangor tidak perlu menghadapi masalah catuan bekalan air sekiranya cadangan untuk membina projek berkenaan diterima sejak awal.

“Ini sebenarnya adalah angkara penasihat ekonomi Selangor. Kalau dia dengar atau tak kenakan tekanan macam ini, saya ingat lama dah dibangunkan Loji Langat 2.

Tambahnya, loji berkenaan mungkin sudahpun siap pada masa ini dan boleh menyalur bekalan air kepada pengguna.

“Loji ini dah lambat dah. Kalau kita tolak lagi, jadi apa akan berlaku? Benda hanya akan dipolitikkan dan akhirnya yang menjadi mangsa, rakyatlah, air dicatu, kesian orang tua dan sebagainya.

“Mereka yang duduk rumah pangsa, yang air kena catu dua hari ada air, dua hari tidak ada air. Inilah kesusahan rakyat. Ini yang saya tanya itu," katanya ketika sidang media di bangunan DUN Selangor hari ini.

Beliau merujuk kepada pendirian kerajaan Selangor sebelum ini yang berkeras untuk menentang usaha membina Loji Langat 2, sehinggalah Menteri Besar Tan Seri Khalid Ibrahim menandatangani satu perjanjian persefahaman dengan kerajaan persekutuan, akhir Februari lalu.

Tindakan Khalid menandatangani perjanjian untuk menstruktur semula industri bekalan air di negeri tersebut menerima tentangan dari pemimpin PKR yang mempersoalkan kerahsiaannya.

Budiman berkata demikian hari ini ketika ditanya mengenai kenyataan ADUN Kajang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan Anwar sebagai seorang penasihat yang baik.

Belau turut mengecam Anwar yang didakwanya sering memburukkan kerajaan pusat ketika berada di luar negara.

"Penasihat ekonomi pergi ke luar negara, bukan nak buat misi pelaburan Selangor. Dia pergi ke luar negara kutuk kerajaan.

“Tak habis-habis kutuk sampai hari ini pun. Masih tak insaf lagi," katanya tanpa merujuk kepada mana-mana kenyataan atau kunjungan Anwar secara khusus.

Sementara itu, ADUN Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz pula berkata, Anwar sepatutnya diganti kerana didakwa gagal meningkatkan kemajuan ekonomi negeri.

Beliau mendakwa, perkara itu boleh dilihat apabila anak syarikat kerajaan negeri mengumumkan untuk menutup operasi Hotel Quality Shah Alam dan memberhentikan kakitangan hotel tersebut berkuatkuasa Jun.

"Pada saya, pada penggal yang lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat ekonomi negeri Selangor telah gagal menasihatkan hal-hal ekonomi dan hal-hal kebajikan, dan kepentingan rakyat.

"Jangan nak tunjukkan profit ekonomi, hari ni hotel Quality tutup jadi saya ingat tukarlah orang (penasihat lain),” katanya.

ADS