Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Malaysia perlu memastikan kementerian dan agensinya yang mengendalikan isu keselamatan adalah sepakat dan boleh bekerjasama dan berkongsi perspektif dalam menghadapi cabaran keselamatan termasuk ancaman jenayah terancang merentas sempadan (TOC).

    

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini penting dalam usaha menangani sindrom bekerja secara sendirian atau apa yang beliau sifatkan sebagai "bekerja dalam ruang lingkup mereka sendiri".

    

"Selain rangkaian domestik yang efektif, juga amat penting untuk menjalin kerjasama serantau, dua hala dan pelbagai hala dari segi kepakaran serta berkongsi maklumat risikan untuk menangani TOC dengan efektif," katanya.

    

Berucap pada sesi tentang TOC di Asia sempena Forum Putrajaya kali ke-3 di ibu negara semalam, beliau berkata susulan kerjasama itu, perkongsian pintar telah dijalin dengan enam negara sejak 2011 iaitu Arab Saudi, United Kingdom, Amerika Syarikat, China, Bangladesh dan Kanada.

    

Beliau berkata usaha untuk membendung TOC juga perlu menumpukan pada tahap taktikal dan teknikal.

    

"Ini mesti diteruskan untuk memastikan anggota penguatkuasaan undang-undang, pendakwaan dan badan kehakiman dilatih dan dilengkapi untuk berdepan dengan aktiviti TOC yang amat mencabar dan kompleks," katanya.

    

-Bernama

ADS