Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri mempertimbangkan keperluan untuk mengadakan sidang khas di DUN untuk membentangkan hasil daripada rundingan terbaru mengenai penyusunan semula industri air di Selangor.

Katanya, kerajaan negeri antara lainnya boleh menggunakan peluang tersebut untuk membentangkan kesan dari pembinaan projek Langat 2 dan kos yang terlibat apabila projek tersebut dimuktamadkan.

"Selepas penyusunan semula dan sekarang masih lagi dalam perundingan, kita akan membentangkan kesan Langat 2, kesan harga akan dibentangkan, dan mengapa keputusan ini akan beri kebaikan kepada rakyat.

"Perkara ini akan dibentangkan dalam Dewan kerana ahli-ahli Dewan ini mahukan ketelusan dan faham cara-cara penyelesaian kepada penyusunan semula air.

"Ia dalam masa terdekat kita akan lakukan, dan kalau perlu kita lakukan sidang Dewan khas apa keputusan yang kita lakukan dan dapatkan pandangan dari Dewan," katanya sewaktu berucap di DUN Selangor, pagi ini.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan tambahan daripada Haniza Mohamed Talha (PKR-Taman Medan) dalam sesi pertanyaan pagi ini.

Haniza dalam soalannya meminta Khalid menjelaskan langkah yang akan diambil bagi memastikan kepentingan rakyat Selangor tetap terjaga walaupun projek Langat 2 diteruskan.

Sementara itu Khalid ketika ditemui pemberita menjelaskan, kerajaan negeri bersedia berhadapan kemungkinan disaman sebilangan penduduk Selangor yang tidak berpuas hati dengan catuan air di negeri itu.

Beliau ditanya mengenai tentang laporan media arus perdana bahawa sebilangan penduduk Selangor bercadang menyaman kerajaan negeri susulan catuan air yang dijalankan kerajaan negeri.

"Tak apa, pasal dia hendak saman itu terpulang pada dia.

"Sebenarnya keputusan dibuat berdasarkan keadaan air yg ada sekarang.

"Keputusan itu dibuat di bawah satu jawatankuasa yang diketuai setiausaha kerajaan negeri, bersama pihak SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara), SYABAS dan pihak berkuasa tempatan.

"Kita bersedia untuk menerangkan perkara ini kerana tujuan kita bukan hendak menyusahkan orang," katanya ketika ditemui di bangunan DUN Selangor.

ADS