Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dasar menyeluruh PATI lepas laporan RCI Sabah

Dasar menyeluruh penyelesaian jangka panjang isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah akan dibentuk selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai PATI (RCI) di negeri itu,

dikeluarkan.

    

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata laporan RCI berkenaan penting bagi menjelaskan situasi isu PATI di negeri itu termasuk menentukan siapa rakyat Sabah serta kedudukan penduduk di Sabah yang cuma lahir di negeri itu namun kewarganegaraannya belum jelas.

Beliau berkata suruhanjaya itu akan melaporkan (hasil siasatan mereka) kepada Parlimen dan kerajaan.

    

"Kabinet akan menentukan apakah tindakan yang perlu diambil. Perkara ini boleh dibincangkan di Parlimen dan apakah kata-kata wakil rakyat yang mewakili rakyat keseluruhannya khususnya masyarakat Sabah," katanya selepas menghadiri majlis anugerah khidmat cemerlang Jabatan Imigresen Kota Kinabalu hari ini.

    

Beliau berkata selepas melalui pelbagai proses dan semua perkara diperhalusi kerajaan akan mengeluarkan dasar yang akan dilaksanakan agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Imigresen sendiri.

Wan Junaidi berkata pada masa ini agensi kerajaan berkaitan belum boleh mengambil tindakan melangkaui bidang kuasa dan dasar sedia ada.

    

Mengulas isu keselamatan di Sabah, beliau berkata kerajaan akan cuba sedaya upaya mempertimbang dan menyegerakan kelulusan permohonan agensi kerajaan di negeri itu untuk mendapatkan keperluan seperti aset dan anggota untuk melaksanakan tugasan mereka.

    

Katanya tindakan segera kerajaan seperti itu perlu untuk memastikan anggota agensi kerajaan berkaitan dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin.

    

"Walau setengah inci pun negara kita diceroboh, itu pencerobohan juga. Kita tidak mahu perkara ini berlaku," katanya.

    

Justeru katanya Grup Taktikal Khas (GTK), satu daripada unit baharu yang ditubuhkan Jabatan Imigresen bagi berhadapan operasi ekstrem dan kini beroperasi di Negeri Sembilan, akan dikembangkan ke seluruh negara termasuk ke Sabah.

    

Katanya isu PATI di Sabah dan Labuan agak kompleks serta memerlukan pendekatan lain untuk menanganinya.

    

-Bernama

ADS