Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kecoh di Stadium Perak, 4 individu ditahan
Diterbitkan:  Apr 16, 2014 11:24 AM
Dikemaskini: 10:09 AM

Empat individu dipercayai penyokong pasukan Perak ditahan dalam insiden kekecohan yang ditimbulkan penyokong negeri itu selepas tewas 1-0 kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Perak malam tadi.

Sementara seorang anggota polis dan dua petugas media cedera dalam insiden yang berlaku sebaik perlawanan itu berakhir dengan penyokong Perak mula membaling suar, mercun dan pelbagai objek ke dalam padang serta ke arah penyokong JDT, lapor Berita Harian hari ini.

Laporan itu menyebut kekecohan terus tercetus apabila sebahagian penyokong tuan rumah menyerbu bahagian tempat duduk penyokong JDT dan membaling pelbagai objek sehingga seorang anggota polis cedera di mata, dan jurugambar NSTP Supian Ahmad cedera di kaki terkena batu.

Akhbar itu melaporkan insiden itu berlaku ketika Supian sedang merakamkan gambar kekecohan sebelum dibaling batu oleh penyokong Perak.

Bagaimanapun beliau cedera ringan dan diberi bantuan oleh pasukan perubatan.

Manakala seorang lagi petugas media Sinar Harian Razif Rosli dilapor turut cedera di kaki terkena mercun yang dibaling oleh penyokong Perak.

Turut dilaporkan situasi tegang memaksa pasukan keselamatan dan Unit Simpanan persekutuan mengarah semua penyokong JDT masuk ke padang bagi mengelak terkena objek dan bertembung dengan penyokong Perak.

Laporan itu juga menyebut sehingga jam 11.40 malam penyokong JDT masih berada di padang dan pasukan polis berusaha menyuraikan penyokong di luar stadium sehingga terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata dan air.

Tak keluar stadium

Sementara itu, Bernama melaporkan seorang jurugambar akhbar New Straits Times cedera di kaki akibat dibaling objek keras dalam insiden kekecohan selepas tamat perlawanan Liga Super Perak menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Ipoh malam tadi.

    

Ketika kejadian, Supian Ahmad sedang merakam foto kekecohan yang berlaku di dalam Stadium Perak.

    

Sementara itu, kaki wartawan Sinar Harian Razif Rosli terkena mercun manakala seorang anggota polis cedera di mata akibat dibaling objek.

    

Selepas tamat perlawanan, penyokong JDT diminta agar tidak keluar dari stadium berkenaan terlebih dahulu kerana dikhuatiri berlaku kekecohan.

    

Bagaimanapun, kekecohan tetap berlaku yang menyaksikan penyokong kedua-dua pasukan saling membaling pelbagai objek keras serta mercun.

    

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melontar gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Perak yang tidak berganjak di luar stadium.

    

Polis terpaksa mengiringi empat bas yang dinaiki penyokong dan pegawai pasukan JDT ketika keluar dari pekarangan stadium.

    

Difahamkan, polis menahan empat penyokong Perak yang disyaki melakukan provokasi selepas perlawanan itu.

ADS