Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kadar kematian penyu di perairan Terengganu akibat terkena peralatan nelayan agak membimbangkan apabila Jabatan Perikanan Terengganu merekodkan enam kematian haiwan marin itu dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Abdul Khalil Abdul Karim berkata empat spesies penyu agar dan masing-masing seekor spesies penyu karah dan penyu lipas ditemui mati selepas mendapat maklumat daripada penduduk tempatan dan nelayan.

"Selepas disiasat punca kematian haiwan reptilia itu terdapat kesan seperti tersangkut pada pukat dan terkena mata kail rawai yang dilabuhkan dalam air oleh nelayan," katanya kepada Bernama .

Beliau berkata pada tahun lepas, pihaknya telah merampas dan menyita enam bidang rawai tanpa umpan yang dilabuhkan oleh nelayan di perairan Rantau Abang.

Katanya kadar kematian penyu di perairan Terengganu dari setahun ke setahun semakin membimbangkan contohnya pada tahun lepas 42 ekor penyu iaitu 40 penyu agar dan dua ekor penyu karah didapati mati.

Abdul Khalil berkata jumlah itu meningkat berbanding 33 ekor pada 2012 manakala 2011 (22 ekor), 2010 (20 ekor) dan 2009 (29 ekor).

Beliau berkata bilangan penyu mendarat pada 2013 mencatatkan jumlah tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Apabila semakin banyak penyu mendarat, maka kadar kematian juga turut meningkat," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihati nelayan supaya tidak menggunakan peralatan yang boleh memerangkap dan memudaratkan kehadiran penyu ke negeri itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 500 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan swasta akan menyertai program gotong-royong membersih pantai santuari penyu di Kemaman 5 Mei ini.

- Bernama

ADS