Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar kata mungkin tak jadi bertanding presiden

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membayangkan bahawa beliau mungkin akan menarik diri dari pertandingan jawatan presiden parti itu.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya berhubung kes Liwat II.

Jelasnya, dua kemungkinan yang mungkin berlaku adalah sama ada beliau atau penyandang jawatan tersebut Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menarik diri dari pertandingan.

"Kalau Anwar kekal, Azizah tarik diri, kalau Azizah kekal Anwar tarik diri," katanya.

Beliau menjelaskan, tujuannya yang lebih besar adalah untuk menjaga parti tersebut dan bukannya untuk berseteru dengan isterinya itu.

"Saya tak berlawan dengan Wan Azizah, Saya berlawan dengan Umno BN...

"Kami pasukan yang utuh. Hidup mati kami bersama," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mendakwa, spekulasi bahawa beliau menentang isterinya sendiri demi menjadi presiden dibangkitkan oleh Umno BN sendiri.

"BN yang kata bagaimana Anwar nak satukan Pakatan (Rakyat) bila dia melawan isterinya sendiri. Tetapi saya berlawan dengan mereka," kata beliau.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu akan menentukan sama ada Anwar masih layak memegang jawatan dalam PKR, selepas Mahkamah Rayuan pada Mac lalu menerima rayuan pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya bagi kes Liwat II.

'Mereka guna ROS'

Mengulas perkara itu, Anwar menyalahkan “permainan politik” kerajaan BN yang didakwanya menggunakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menghalangnya bertanding jawatan tersebut.

"Sebelum ini mereka guna mahkamah halang saya bertanding di (pilihan raya kecil DUN) Kajang, sekarang mereka guna ROS untuk halang saya bertanding presiden," dakwanya.

Sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memihak ke atasnya, Anwar tidak boleh memegang jawatan berkenaan seperti ditetapkan oleh peruntukan Seksyen 9A(1)(b) Akta Pertubuhan 1966 dan Fasal 7.1.4 Perlembagaan PKR.

Peruntukan Akta Pertubuhan itu menetapkan: “Seseorang individu tidak boleh menjadi atau kekal memegang jawatan dalam pertubuhan yang berdaftar jika disabitkan atas apa-apa kesalahan dan didenda tidak kurang daripada RM2,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun.”

Perlembagaan PKR pula menyebut: "Seseorang ahli tidak boleh dicalonkan atau bertanding untuk memegang sebarang jawatan (jika telah dipilih atau terlantik maka dengan serta-merta terlucut dengan sendirinya) jika dia dilarang oleh undang-undang dari memegang jawatan di dalam pertubuhan atau dia dikenakan tindakan disiplin yang melarangnya memegang jawatan."

ADS