Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menolak kenyataan bahawa kerajaan negeri boleh "mengambil lebih inisiatif" dalam merungkai kontroversi rampasan Bible berbahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurutnya, beliau telah bertindak di atas nasihat pegawai undang-undang negeri agar tidak membuat sebarang keputusan dan merujuk perkara itu kepada pejabat peguam negara.

"Kita telah meminta nasihat dari pegawai-pegawai berkenaan dan pegawai undang-undang negeri.

"Atas nasihat beliau, kita kena tangguhkan keputusan itu sehingga kita selesaikan dengan AG (peguam negara)," katanya kepada wartawan tengah hari ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata inisiatif itu di antaranya adalah dengan memulangkan kembali Bible itu dengan syarat tegas ia sama sekali tidak diedarkan kepada penganut agama Islam.

Anwar dalam ulasan terhadap episod baru kemelut itu yang menyaksikan Persatuan Bible Malaysia (BSM) mengumumkan akan berpindah dari Selangor ke Kuala Lumpur untuk "mengelakkan jangkauan JAIS", juga berkata Khalid sepatutnya tidak menyerahkannya kepada pejabat peguam negara semata-mata.

Selain Anwar, kritikan terhadap Khalid turut dilontar MP Puchong, Gobind Singh Deo, yang mempersoalkan keupayaan Khalid untuk kekal memimpin negeri susulan perkembangan terbaru itu.

Gobind berkata Khalid kini dilihat tiada "keberanian politik" untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

Menjawab kritikan itu, Khalid sekali lagi menegaskan bahawa beliau bertanggungjawab memimpin negeri berdasarkan peruntukan undang-undang.

Tegasnya, beliau mengambil kira peranan JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam struktur undang-undang negeri.

"Saya menjalankan satu tugas, sebagai orang yang memimpin negeri saya kena ambil kira kepentingan undang-undang dan pentadbiran yang ambil kira peranan JAIS dan Mais dalam kerja yang kita lakukan," katanya sewaktu menjawab soalan wartawan.

Beliau ditemui selepas menjadi tuan rumah acara makan tengah hari rombongan jawatankuasa tetap kewangan dan perdagangan Kenya yang melawat sidang dewan Selangor, hari ini.

ADS