Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penganjur Himpunan 1 Mei depan dipanggil hadir ke ibupejabat polis Dang Wangi hari ini berhubung rancangan mereka untuk mengadakan protes kenaikan harga barang serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Himpunan besar-besaran pada hari pekerja itu diadakan bagi membantan hasrat kerajaan melaksanakan GST sebanyak enam peratus berkuatkuasa 1 April 2015.

Akta tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tanpa pindaan awal bulan ini.

Ditemui pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan polis, Jurucakap Jawatankuasa 1 Mei, S Arutchelvan berkata perbincangan mereka dengan beberapa pegawai polis di ibu pejabat polis itu termasuk Ketua Ketenteraman Trafik Kuala Lumpur SAC Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad.

Naib Presiden PKR Tian Chua yang dijadual hadir ke ibu pejabat polis bagaimanapun tidak hadir.

Difahamkan beliau akan bersama beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Mohamad Sabu dan Dr Hatta Ramli akan hadir pada 21 April depan.

Walaupun Akta Perhimpunan Aman 2012 menetapkan sebarang perhimpunan dimaklumkan 10 hari sebelum berlangsungnya seperti surat yang diberikan kepadanya, Arutchelvan memuji pihak polis yang "proaktif" memanggil beliau hadir untuk berbincang mengenai perhimpunan itu.

Dalam perhimpunan itu, Arutchelvan yang juga setiausaha agung PSM memberitahu polis bahawa perhimpunan anti-GST itu akan diadakan di KLCC jam 2 petang selama satu jam, yang antaranya membabitkan ucapan wakil pekerja dan pemimpin NGO.

"Kemudian, kami akan berarak ke Dataran Merdeka dan himpunan itu akan berakhir di situ," katanya sambil menambah polis membangkitkan isu "protes jalanan" memandangkan ia tidak dibenarkan oleh akta tersebut.

Arutchelvan juga berkata isu penutupan Dataran Merdeka pada tarikh tersebut kerana kerja menaiktaraf sehingga Jun ini menyebabkan polis turut memohon lokasi alternatif untuk berhimpun.

"Kami akan bincang mengenainya. Setakat ini Dataran Merdeka adalah tempat terakhir.

"Kami bagi jaminan bahawa perhimpunan akan berjalan dengan aman dan tenteram," katanya.

Dalam perbincangan itu juga, Arutchelvan juga berkata pihak polis mahu mereka memaklumkannya dalam tempoh 10 hari dari tarikh himpunan tersebut.

"Tiap-tiap tahun kita maklumkan kepada polis, supaya polis memudahcara. Tapi kami juga kata, kami ada pengalaman buruk dengan polis," katanya dalam pertemuan sejam mulai 2.30 petang tadi.

Selain itu, Arutchelvan berkata pihak polis turut membangkitkan tentang penyertaan kanak-kanak dan kebenaran dari lokasi tempat berhimpun.

"Kalau nak ikut APA, tidak ada tempat untuk berhimpun. KLCC pun sebelah masjid. Jadi kita minta polis guna budi bicara. Dia boleh memudahcara

"Kita minta polis guna budi bicara. Sebelum ini ada perhimpunan tak perlu permit, polis benarkan. Kita tak masuk dalam KLCC," katanya sambil memberi jaminan bahawa perhimpunan itu akan berlangsung secara aman.

Arutchelvan - yang hadir bersama penasihat undang-undang V Selvam - berkata jawatankuasanya akan berbincang dan bermesyuarat malam ini berhubung hasil pertemuan dengan polis itu dan memaklumkannya sebelum 20 April ini.

Antara NGO yang memberi sokongan terhadap himpunan ini ialah HIMPUN, SAMM, TURUN, JERIT dan organisasi mewakili orang Asli dan pertubuhan NGO wanita.

ADS