Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penyandang Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali 'merekrut' tokoh sejarah dari serata dunia dalam memperkenalkan gagasan Keadilan Raya yang menjadi tema kempennya dalam pemilihan parti kali ini.

Pelancaran kempen itu disertai poster imej Azmin bersama tokoh nasionalisme bersejarah seperti Mahatma Ganndhi di India, Soekarno di Indonesia dan Tunku Abdul Rahman, memaparkan anekdot dan petikan kata-kata dari pelbagai tokoh lain seperti Martin Luther King Jr dan Abraham Lincoln dalam menunjukkan kepentingan sesebuah parti mempunyai ideologi yang kuat untuk disandarkan.

Bagaimanapun Azmin menekankan bahawa sesebuah parti itu turut perlu ditunjangi akar umbi masing-masing dan PKR bukanlah parti satu-satu kaum sahaja.

"Sebagai Timbalan Presiden, saya telah menjelajah ke Ba’ Kelalan, Sarawak, ke Melalap di Tenom merentasi Banjaran Kroker, Sabah. Saya bertentang mata dengan orang Iban di Rumah Panjang Nanga Budu, Saratok; orang Kadazan di Kampung Pilantong, Lanok, Beluran.

"Saya memasuki kampung, estet dan kampung baru untuk menyelami hati nurani orang Melayu, India dan Cina. Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa KEADILAN (PKR) bukan parti Melayu. KEADILAN  adalah parti seluruh anak Malaysia," katanya dalam ucapan ketika pelancaran Gagasan Keadilan Raya di Petaling Jaya malam ini.

Azmin turut memetik ayat al-Quran, kata-kata hikmat filosuf China, dan teks Hindu Mahabrata yang menerangkan nilai dan kepentingan mempertahankan keadilan.

"Sebuah parti politik perlu mempunyai ideologi. Tanpa ideologi, parti akan terumbang-ambing dalam arus masa dan akan karam dalam budaya politik Machiavelli, melakukan apa sahaja untuk mendapat kemenangan, matlamat menghalalkan cara. Apa yang saya maksudkan sebagai ideologi adalah satu gagasan menyeluruh," tegasnya.

Azmin turut membandingkan terma “Keadilan Raya” dengan slogan perjuangan seperti “Melayu Raya”, “Indonesia Raya”, dan “Asia Raya”, yang diluahkan idea ikon perjuangan serantau seperti Ibrahim Yaacob, Burhanudin al Helmy, Gandhi, Okakura Tenshin, Rabindranath Tagore, dan Soekarno.”

"Ia bukan sahaja menjadi slogan akan tetapi suatu ideologi politik, untuk menyatu padukan seluruh rakyat yang bangkit menentang penjajahan. 'Imagined Community' atau masyarakat yang diimpikan oleh para pejuang kemerdekaan Asia adalah sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

"Makanya, Keadilan Raya juga adalah kesinambungan atas cita-cita tersebut. Memastikan setiap rakyat Malaysia, samada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan menikmati kemakmuran negara yang kita cintai ini," kata beliau.

Azmin turut menegaskan tidak perlu adanya kumpulan atau 'third force' dalam parti itu kerana semuanya bernaung di bawah 'tokoh Demokrat Muslim yang diiktiraf oleh masyarakat dunia, Anwar.

"Pilihlah kepimpinan yang tegas, teruji, wibawa dan setia.

"Kita perlu mengelakkan factionalisme, kumpulan atau gabungan yang akan menyebabkan parti yang kita sayangi hancur berantakan. Bagi saya, seluruh anggota parti adalah pasukan saya di bawah naungan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kenapa kita perlu mencipta third force? Apa yang kita perlu hanya 'one force'. Dan 'one force' itu ialah Keadilan! (PKR)," katanya.

Azmin bakal berhadapan dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Cabang Hulu Selangor Datuk K Ramachandran dalam persaingan jawatan timbalan presiden.

Hampir setengah juta ahli PKR berpeluang memilih pimpinan mereka bermula dari 26 April hingga 12 Mei depan.

ADS