Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini melahirkan rasa sedih terhadap kehilangan bekas pengerusi DAP Karpal Singh yang disifatkannya sebagai sumber inspirasi kepada anggota parti itu.

    

Bernama melaporkan Setiausaha Agung DAP itu berkata berita kematian Karpal Singh akibat kemalangan di Kampar yang diterima beliau pada pukul 3 pagi, amat mengejutkan.

    

"Saya mewakili seluruh warga DAP merakamkan takziah kepada anggota keluarga beliau, dan bagi pihak kerajaan negeri, kita mahu memberi penghormatan kepadanya, 'a proud son of Penang'," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh hari ini.

    

Beliau berkata Karpal Singh bukan sahaja seorang peguam yang dihormati malahan seorang ahli politik yang tegas dan tidak berkompromi dengan prinsip yang dipegangnya.

    

Lim berkata kali terakhir pertemuan mereka adalah pada sesi Parlimen baru-baru ini dan beliau turut menelefon Karpal Singh beberapa hari lepas bagi membincangkan isu mahkamah dan parti.

    

"Ia adalah satu kehilangan yang besar, kami terkejut dengan kehilangan secara tiba-tiba ini. Ini kerana kami percaya banyak lagi yang boleh beliau sumbangkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan takziahnya menyatakan kesedihan yang amat mendalam atas kehilangan "seorang pejuang yang tidak pernah mengenal erti lelah untuk menegakkan keadilan".

    

"Malah kata-kata tidak dapat melahirkan sepenuhnya kesedihan mendalam yang saya rasai atas pemergian rakan seperjuangan saya bagi kebebasan dan demokrasi, simbol inspirasi bagi perjuangan menentang penindasan dan ketidakadilan dan seorang individu yang tidak tercela integriti moralnya," katanya.

    

Beliau berkata negara telah kehilangan seorang anak watan yang berdedikasi, rakyat pula kehilangan seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, berani dan seorang pembela kebebasan hak asasi yang mulia.

    

"Pengamal undang-undang telah kehilangan seorang yang tajam pemikirannya dan saya kehilangan seorang kawan sejati, amat baik dalam berkata, mulia dalam perbuatannya," katanya.

    

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga Karpal Singh.

"Saya ucap takziah kepada keluarga mendiang YB Karpal Singh. Semoga keluarganya bersabar," kata Nik Aziz ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Baharu.

    

Nik Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan berkata pemergian Karpal Singh merupakan satu kehilangan besar kerana beliau merupakan ahli perundangan yang hebat.

    

"Mendiang terkenal sebagai ahli perundangan yang dihormati hasil daripada beliau memahami perlembagaan dan perundangan Malaysia," katanya.

    

Sementara itu, kerajaan negeri Kelantan turut melahirkan rasa simpati dan sedih atas kehilangan Karpal Singh.

    

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata: "Kami ucap takziah kepada keluarga atas kematiannya yang tidak diduga," katanya.

ADS