Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merancang untuk memperoleh aset keselamatan yang baharu susulan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 sejak 8 Mac lepas.

Panglimanya Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata aset berteknologi canggih itu diperlukan bagi menjaga kawasan maritim negara selain membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelbagai insiden pada masa depan.

"Kita memang ada rancangan untuk memperolehnya, namun bergantung kepada peruntukan kewangan," katanya dalam wawancara media sempena sambutan Hari TLDM ke-80, pada 27 April ini.

Sambil menyifatkan perolehan tersebut tidak perlu dilaksanakan segera, Abdul Aziz berkata ketika ini pihaknya sudah mempunyai beberapa aset antaranya kapal KD Kasturi yang telah beroperasi sejak tahun lepas.

"Selain itu, kita menjangkakan perolehan kapal latihan dan kapal KD Lekir baharu pada tahun ini serta kapal LCS pada pertengahan 2019.

"Semua ini adalah untuk meningkatkan keupayaan armada, seiring dengan visi menjadikan TLDM tentera laut bertaraf dunia," katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan pihaknya dan kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam operasi SAR pesawat MH370 tanpa menyembunyikan sebarang maklumat kepada keluarga penumpang dan anak kapal.

"Seharusnya, kita berasa bangga dengan usaha keras yang dilakukan kerajaan dalam menangani isu kehilangan MH370 ini yang sudah memasuki hari ke-41 dan bukannya menuduh kita menyembunyikan sesuatu.

"Sebagai pihak yang turut terlibat dalam operasi itu, saya pasti kerajaan sudah salurkan semua maklumat kepada keluarga dan orang awam, jadi tiada apa yang disembunyikan," katanya menjawab spekulasi kononnya terdapat penyembunyian maklumat dalam operasi SAR MH370 itu.

Penerbangan MH370 dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Beijing yang membawa 239 penumpang dan kru berlepas pada 12.41 pagi 8 Mac dan dilaporkan hilang dari imbasan radar sejam kemudian ketika berada di ruang angkasa Laut China Selatan.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac –  17 hari selepas kehilangan pesawat itu – bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata TLDM akan menyambut hari ulang tahun yang ke-80 pada 27 April ini di pangkalan TLDM di Lumut bertemakan 'TLDM Siaga Perairan Terpelihara.'

Pelbagai acara diatur termasuk program Jiwa Murni untuk pembersihan Lumut Bandar Tentera Laut dan pertunjukan pancaragam pada Ahad ini, Hari Bersama Media pada 23 dan 24 April, Karnival Jualan Harga Runtuh dan Karnival Halal Hab (23 hingga 25 April) serta Hari Terbuka Armada dan Karnival 1 MINDEF pada 26 dan 27 April.

Kemuncak sambutan akan diadakan pelancaran 'buku mewah' bertajuk 'Detik-Detik Kegemilangan' yang merekodkan pencapaian TLDM sejak penubuhannya pada 27 April 1934.

Buku setebal 276 muka surat ini diterbitkan dalam dwibahasa dan disertakan dengan maklumat serta gambar yang diperoleh dari pelbagai sumber.

Abdul Aziz berkata buku itu dijual dengan harga RM125 senaskah dan boleh didapati di beberapa kedai buku terpilih di seluruh negara bermula 26 April ini dengan cetakan pertamanya 10,000 naskah.

- Bernama

ADS