Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN Paloh cedera, isteri maut dalam kemalangan

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan kawasan Paloh, Datuk Nozula Mat Diah mengalami cedera ringan manakala isterinya Datin Maziah Din maut dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai di Ipoh semalam.

    

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata tiga anak pasangan itu (dua lelaki dan seorang perempuan) masing-masing berumur 23, 16 dan 9 tahun serta seorang anak saudara, berumur satu tahun lapan bulan berada di dalam kenderaan yang dipandu anak perempuan Norzula.

    

Beliau berkata mereka yang selamat dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini manakala mayat Maziah dibawa ke rumah mayat hospital yang sama untuk bedah siasat.

    

"Berdasarkan maklumat yang diterima kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Murano yang dipandu anak perempuan Nozula dipercayai terbabas akibat jalan licin dan merempuh tebing bukit sebelum jatuh ke dalam longkang dalam kejadian pada pukul 6.30 petang," katanya kepada pemberita yang ditemui di hospital di Ipoh malam tadi.

Sum berkata kereta yang dinaiki keluarga Nozula berkonvoi bersama sebuah Toyota Harrier yang mengekorinya dari Kelantan ke Ipoh untuk bercuti.

"Maziah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital KPJ Ipoh," katanya.

    

Sum berkata Nozula mengalami kecederaan di rusuk kiri dan kanan serta berada dalam keadaan stabil dan separuh sedar.

    

Kesemua mangsa sedang dirawat dan masih mengalami trauma, katanya.

Sementara itu, jenazah Maziah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Tanah Rancangan Felda Chiku 5 di Gua Musang hari ini.

    

Jenazah Allahyarham yang dibawa pulang dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak, tiba di kediamannya di Bandar Chiku dekat sini pada pukul 7.15 pagi tadi.    

    

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan diiringi anggota keluarga dan ratusan penduduk di kawasan DUN Paloh serta ADUN Palas Ab Aziz Yusof.

    

Norfatim Nabila yang memandu kenderaan tersebut, ketika ditemui pemberita selepas pengebumian itu berkata kejadian berlaku ketika hujan dan jalan licin menyebabkannya gagal mengawal SUV tersebut.

    

"Saya yang hanya mengalami kecederaan ringan cepat-cepat keluar untuk mengheret keluar adik saya, Nadirah, Mohd Fitri dan anak saudara Raja Haris

sambil meminta pertolongan daripada orang ramai yang melalui kawasan itu.

    

"Hanya arwah ibu bersama bapa masih tersepit di dalam kereta yang remuk itu dan berjaya dikeluarkan anggota bomba tidak lama selepas itu," katanya.

    

Ab Aziz pula ketika ditemui menyatakan rasa sedih atas kejadian menimpa keluarga Adun Paloh itu.

    

Katanya Allahyarham amat dikenali di kawasan Parlimen Gua Musang kerana sentiasa bergaul mesra dengan penduduk.

    

"Saya doakan Datuk Norzula cepat pulih," katanya.

  - Bernama

ADS