Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rancangan tiada visa M'sia-Turki diteliti
Diterbitkan:  Apr 18, 2014 11:59 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Turki telah membuka  lembaran baharu kepada hubungan dua hala kedua-dua negara.
 
Najib berkata lawatan keduanya ke Turki itu, yang bertujuan meningkatkan lagi kerjasama erat kedua-dua negara, terutama menerusi FTA, dilihat telah berjaya meletakkan hubungan Malaysia dan Turki, yang terjalin sejak 50 tahun lepas, ke suatu lembaran baharu yang lebih memberi manafaat kepada kedua-dua negara.
 
"Menerusi FTA ini, potensi yang kita harapkan untuk melonjakkan peluang perdagangan, daripada tahap US$1.5 bilion pada masa ini, mencecah kepada US$5 bilion dalam tempoh lima tahun, merupakan sasaran yang kita akan capai, kita terima dengan positif walaupun sasaran itu dikatakan sasaran besar dan bercita-cita tinggi, namun menerusi FTA, nilai dagangan diunjur meningkat antara 10 dan 15 peratus setahun.
 
"Melalui FTA ini, harapan itu semakin baik, dan Erdogan (Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan) telah nyatakan pada saya bahawa Jun ini beliau akan membawa FTA tersebut untuk disahkan oleh Dewan Parlimen (Turki),” katanya kepada  wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi dua harinya ke negara ini, pada Khamis.
 
Perdana Meteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berlepas pulang ke Malaysia pada 11 malam tadi (Jumaat 4 pagi waktu Malaysia).
 
Pada Khamis, Malaysia dan Turki menandatangani FTA yang bakal menjadi pemangkin untuk meningkatkan perdagangan dua hala, kepada US$5.0 bilion pada 2018.
 
Kerajaan Malaysia diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed, manakala Turki diwakili oleh Menteri Ekonomi Nihat Zeybekci.
 
Ini merupakan FTA dua hala ketujuh Malaysia dengan negara asing selepas Jepun, Pakistan, New Zealand, Chile, India dan Australia.
 
Najib berkata satu Jawatankuasa Teknikal Ekonomi Bersama juga akan bermesuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan isu berbangkit supaya peluang ekonomi menerusi FTA itu mampu mencapai tahap yang lebih tinggi lagi.
 
Perdana Menteri berharap ahli perniagaan Malaysia merebut peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka di Turki dengan memanfaatkan hubungan dua hala yang semain erat itu, selain meminta ahli perniagaan Turki turut sama meningkatkan pelaburan dan hubungan perdagangan mereka dengan Malaysia.
 
Pada sidang media itu, Perdana Menteri berkata Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) juga melabur sejumlah US$1.4 bilion di Turki bagi mengendalikan 20  hospital menjelang tahun depan.
 
"Dari segi nilai pasaran US$1.4 bilion yang dilaburkan Khazanah pada masa ini, nilainya ialah US$2 bilion. Ini satu pelaburan yang begitu signifikan.
 
Khazanah yakin bahawa pulangan pelaburan baharu ini merupakan satu pulangan yang
memberangsangkan," kata Najib.
 
Najib berkata Khazanah melalui Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) telah meningkatkan nilai pegangan saham di Lapangan Terbang Istanbul kedua iaitu Lapangan Terbang Sabiha Gökçen (Istanbul) daripada 20 peratus kepada 60 peratus.
 
"Ini memberi peluang kepada MAHB untuk mengendalikan lapangan terbang berkenaan yang merupakan antara lapangan terbang terbesar di dunia, yang juga akan mengurus lima landasan yang akan dibina tidak lama lagi,” katanya.
 
Mengenai pendidikan, Najib berkata pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang akademik antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Hacettepe University serta UKM-Ankara University, dilihat mampu meningkatkan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam bidang itu.
 
"Hasrat kerajaan Turki ialah supaya jumlah pelajar Malaysia, yang hanya 70 orang di negara itu, dapat ditingkatkan kepada bilangan yang lebih besar berikutan masalah (kemelut dalaman) yang berlaku di Mesir," katanya.
 
Bagi bidang pelancongan pula, Najib berkata Turki telah menyatakan persetujuan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan Turkish Airlines dari Istanbul ke Kuala Lumpur kepada enam kali seminggu.
 
"Pada prinsipnya, ada rancangan untuk melaksanakan kemasukan tanpa visa antara kedua-dua negara. Cadangan balas diterima, dan kita sedang teliti beberapa aspek untuk diselaraskan, selain hasrat Perdana Menteri Turki sendiri, supaya sebuah pusat kebudayaan Turki diwujudkan di Kuala Lumpur," kata Najib.
 
- Bernama

ADS