Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemandu jengkaut maut tertimbus tanah runtuh

Seorang pemandu jengkaut maut setelah tertimbus runtuhan batu dalam kejadian tanah runtuh di kuari pemecah batu Telok Kalong, Kemaman pagi tadi.

    

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa, Muhamad Hafiz Muhamad Zizan, 24, baru sahaja selesai mengisi batu ke dalam sebuah lori untuk dibawa ke sebuah tongkang.

    

Akibat runtuhan berkenaan mangsa yang berada di dalam jengkaut itu, meninggal dunia setelah terperangkap hampir dua jam di dalam runtuhan berkenaan.

    

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri, Abdullah Zawawi Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.30 pagi berhubung kejadian itu.

    

Beliau berkata bomba menggunakan sebuah jengkaut lain bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam timbunan batu itu dan berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira jam 7.47 pagi.

    

"Sejurus menerima laporan itu sepasukan penyelamat terdiri daripada pasukan bomba dan polis bergegas ke tempat kejadian dan berusaha menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

    

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Roslan Khalid, ketika ditemui di tempat kejadian berkata lebat telah menyebabkan tanah mengelongsor dan menghempap rakannya yang berada di dalam jengkaut.

    

Mohd Roslan berkata beliau dan rakan-rakan berusaha menggali tanah yang menghempap mangsa bagi menyelamatkannya dan menghubungi pihak bomba.

    

"Kejadian berlaku begitu pantas," katanya yang terkejut dengan insiden itu.

    

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

    

- Bernama

ADS