Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

LIWAT II Mahkamah Rayuan menyifatkan kelayakan dua ahli kimia Australia yang menjadi saksi pembela dalam kes Liwat 11 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai hanya "pakar teori" dan berkata bahawa keterangan mereka kurang nilai pembuktian.

Dalam penghakiman 85 muka surat, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tidak berlaku pengubahan pada sampel yang diambil dari dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana menurut ahli kimia tempatan, Dr Seah Lay Hoong bahawa bekasnya masih dalam keadaan baik.

Panel Mahkamah Rayuan yang mendengar dan membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan tidak bersalah terhadap Anwar, terdiri Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Menurut mereka, keterangan Dr Brian McDonald (kanan) dan Dr David Wells hanyalah pendapat semata-mata, sedangkan keterangan dua ahli kimia tempatan merupakan fakta dan berdasarkan analisis yang mereka lakukan ke atas sampel tersebut.

Pengetahuan McDonald dan Wells, menurut panel hakim itu, tidak berdasarkan pengalaman menjalankan sendiri ujian ke atas analisis tersebut, tetapi hanya dengan membaca manual protokol pengekstrakan DNA yang dikeluarkan.

Kerana itulah, kata panel itu lagi, pakar asing itu tidak dapat menghargai penjelasan yang diberikan oleh Seah mengenai pengekstrakan DNA yang dilakukannya kerana dua pakar Australia itu tidak pernah menjalankan prosedur itu sebelum ini.

Panel itu berkata mereka bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa keterangan pakar-pakar asing itu bersifat spekulasi dan teori jika tidak hipotetikal, dan oleh itu kekurangan nilai pembuktiannya.

Menurut panel itu lagi, mereka juga mendapati ada merit dalam kritikan pihak pendakwa terhadap pakar asing itu.

Pada pandangan mereka, komen dan kritikan dua pakar asing itu terhadap dua ahli kimia tempatan berkaitan analisis mereka dan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mengambil sampel itu dan menyediakan laporan tersebut, tidak mempunyai nilai pembuktian yang dapat menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pihak pendakwaan atas berlaku penetrasi. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan memutuskan adalah selamat untuk mahkamah mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana terdapat cukup keterangan untuk mengesahkan dan membuktikannya.

    

Mahkamah berkata malah sekiranya diandaikan tiada bukti untuk menyokong keterangan Mohd Saiful tentang fakta berlakunya penetrasi, adalah selamat untuk mensabitkan responden (Anwar).

    

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis 85 muka surat bertarikh 11 April, berkata terdapat cukup keterangan lain yang membolehkan elemen pertuduhan dapat disahkan dan dibuktikan.

    

Dalam penghakiman yang diedarkan kepada media hari ini, mahkamah memutuskan isu kemungkinan sampel DNA diambil daripada Mohd Saiful telah diusik oleh pegawai penyiasat kes Superitenden Jude Blacious Pereira dan telah tercemar juga tidak dapat dibuktikan.

    

"Kami berpendapat andaian bahawa pegawai penyiasat telah mengusik barang bukti (sampel) tidak mempunyai merit. Kami tidak tahu bagaimana hakim perbicaraan yang bijaksana boleh terkhilaf dalam pendapatnya," kata hakim berkenaan.

    

Berhubung andaian pihak pembelaan bahawa Jude telah mengusik eksibit itu, mahkamah mendapati tindakan pegawai penyiasat berkenaan membuka eksibit itu tidak menyebabkan eksibit itu tercemar.

    

Ketiga-tiga hakim itu berkata mereka mengambil kira penjelasan diberikan Jude berhubung tindakannya itu iaitu beliau hanya mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis Negara.

    

Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

    

Panel itu juga berkata mereka mendapati tiada alasan untuk mereka menganggu penemuan hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah tentang isu kredibiliti Mohd Saiful dan bahawa tiada yang tidak munasabah dengan keterangannya.

    

"Mengikut undang-undang, kredibiliti saksi-saksi adalah paling penting bagi hakim perbicaraan. Kami berpuas hati bahawa hakim perbicaraan yang bijaksana telah menimbangkan sewajarnya keterangan saksi pertama pihak pendakwa (Mohd Saiful Bukhari)," menurut panel itu.

    

Mereka berkata mahkamah telah meneliti keterangan Mohd Saiful Bukhari dan bersetuju penuh dengan hakim mahkamah tinggi apabila beliau mendapati bahawa tidak sukar untuk memahami kenapa Mohd Saiful berbuat begitu di sebalik menegaskan beliau tidak merelakan perbuatan Anwar itu.

    

Panel berkenaan berkata mahkamah juga bersetuju dengan keputusan hakim mahkamah tinggi berhubung kredibiliti  Mohd Saiful dan tiada yang tidak munasabah dalam keterangannya.

    

Mereka juga menyatakan kelewatan membuat laporan polis berhubung dakwaan liwat tidak memudaratkan kes pihak pendakwaan selagi terdapat penjelasan yang kukuh dan boleh diterima berhubung kelewatan itu.

    

Mohd Saiful Bukhari membuat laporan polis pada 28 Jun 2008, dua hari selepas kejadian liwat itu.

    

Mengenai isu pengesahan identiti "Lelaki Y", mahkamah memutuskan keterangan ahli kimia Nor Aidora Saedon dari Jabatan Kimia Malaysia adalah amat penting.

Ketiga-tiga hakim berkata Nor Aidora membangunkan profil DNA "Lelaki Y" daripada eksibit iaitu sebatang berus gigi berwarna putih, sehelai tuala kecil "Good Morning" dan satu botol plastik air mineral yang telah kosong yang diperolehi dari sel lokap yang Anwar merupakan satu-satunya penghuni di situ.

    

Selepas menjalankan analisisnya, Nor Aidora mendapati "Lelaki Y" adalah penyumbang yang sama dengan DNA diambil daripada eksibit ditemui di lokap itu dan beliau merumuskan penyumbang DNA dan "Lelaki Y" adalah daripada sumber sama.

    

Panel itu menegaskan undang-undang akan gagal melindungi masyarakat sekiranya mahkamah menerima kemungkinan-kemungkinan andaian yang akan

merencatkan pelaksanaan undang-undang dengan adil.

Anwar dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu.

    

Beliau diwakili barisan peguam iaitu mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur manakala pihak pendakwa raya diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

    

ADS